Masih tiada keputusan mengenai bazar Ramadan, kata menteri 


Sebarang keputusan berhubung bazar Ramadan perlu dirujuk kepada Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara, kata Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa.– Gambar fail The Malaysia Insight, 1 April, 2020.

MASIH belum ada keputusan sama ada bazar Ramadan boleh diteruskan ketika negara sedang berdepan pandemik Covid-19,” kata Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa. 

Menurutnya, pihak berkuasa tempatan akan memberi taklimat kepadanya pada Jumaat berkenaan cadangan untuk bazar Ramadan. 

“Sebarang keputusan perlu dirujuk kepada KKM (Kementerian Kesihatan) dan MKN (Majlis Keselamatan Negara).

“Tiada keputusan dibuat selagi kita tidak menerima garis panduan yang jelas dan nasihat daripada KKM dan MKN.

“Pihak berkuasa tempatan di Wilayah Persekutuan perlu beri taklimat kepada saya status terkini dan rancangan mereka. Sila bersabar,” katanya. 

Beliau turut menafikan laporan berita yang menyatakan beliau membenarkan bazar Ramadan namun prosedurnya perlu dipertingkatkan. 

“Keputusan apa mengenai bazar Ramadan? Saya ada mesyuarat harian dengan Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan. Kami belum bincangkan, dan akan berbuat demikian,” kata Annuar dalam satu lagi komen di Twitter.

Annuar mengulas mengenai “perubahan” bazar Ramadan yang dilaporkan semalam oleh agensi berita Bernama.

Kenyataannya mencetuskan kritikan oleh pengguna media sosial yang mengatakan tindakan itu tidak bijak kerana pandemik Covid-19.

Setakat ini, Negeri Sembilan dan Terengganu membatalkan bazar Ramadan, yang mana Terengganu mencadangkan untuk menyediakan platform online untuk peniaga menjual makanan.

Ramadan bermula pada 23 April, iaitu seminggu selepas perintah kawalan pergerakan tamat pada 14 April. – 1 April, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen