Kesan luar jangka fasa kedua PKP


PERATURAN baru fasa kedua perintah kawalan pergerakan (PKP)  yang diumumkan oleh menteri pertahanan semalam menimbulkan beberapa persoalan yang serius. 

Kita tidak boleh lupa tujuan utama PKP, iaitu polisi yang memang perlu dan dilaksanakan dengan tujuan menghentikan penularan virus Covid-19. 

Dari perspektif kesihatan awam, kita harus mengambil semua langkah yang perlu untuk memastikan sebarang polisi yang dilaksanakan tidak membawa kesan tidak dijangka, terutama sekali apa jua yang boleh memburukkan keadaan. 

Kerajaan sepatutnya bukan “kelihatan” tegas dalam menangani isu ini, tetapi harus bertindak secara bijak dan tegas sekaligus. 

Seluruh Malaysia menyokong usaha kerajaan untuk mengawal penularan virus ini. 

Bagaimanapun, kawalan yang diumumkan dalam fasa kedua PKP boleh membawa risiko lebih ramai rakyat Malaysia dijangkiti Covid-19. 

Kami sedar kerajaan tidak berniat sedemikian, dan sebab itulah kami menyeru kerajaan untuk meneliti polisi ini dengan lebih terperinci. Dari perspektif kesihatan awam, kesan berikut mungkin berlaku.

Mengurangkan jam perkhidmatan kedai runcit, pasar raya dan pengusaha makanan bermakna jumlah orang yang sama akan tetap mengunjungi tempat ini, tetapi dalam ruang masa yang lebih terhad. 

Akibatnya, timbul risiko pengunjung berkumpul beramai-ramai. Ini bertentangan dengan hasrat asal PKP, kerana apabila timbul keadaan bersesak-sesak, risiko jangkitan bertambah.

Begitu juga dengan perkhidmatan pengangkutan awam. Menghadkan tempoh operasi bermakna mereka yang menggunakan perkhidmatan tersebut pada jam 11 pagi atau 4 petang sekarang perlu mengubah jadual dan menggunakan perkhidmatan ini pada jam 10 pagi atau 5 petang. 

Ini sekali lagi menambahkan kesesakan, dan sekaligus risiko jangkitan bertambah. 

Kekangan pengangkutan juga menyulitkan petugas barisan hadapan dan pekerja industri penting untuk berulang-alik ke tempat kerja.

Juga, dengan tiada teksi atau perkhidmatan e-hailing selepas jam 10 malam, mereka yang bekerja syif malam dan tidak memiliki kenderaan sendiri tidak boleh ke mana-mana. 

Bagi isu penghantaran makan, kita ambil maklum bahawa nombor penghantar makanan adalah terhad.

Apabila jam operasi dihadkan kepada sebelum jam 8 malam, secara logik, jumlah makanan yang boleh dihantar dalam masa yang lebih singkat itu turut akan berkurang. 

Ini akan mengakibatkan pengurangan jumlah orang yang boleh menggunakan perkhidmatan penghantaran makanan, terutamanya mereka yang kerja lewat. 

Para pekerja industri penghantaran makanan pula hanya boleh kerja dengan tempoh terhad, lantas mengurangkan sumber pendapatan mereka. 

Walaupun kita semua sedia maklum kepentingan mematuhi arahan PKP, timbul juga soal sama ada menangkap mereka yang tidak mematuhi arahan ini sebenarnya membantu usaha membanteras penularan virus Covid-19. 

Lebih ramai orang yang ditangkap, maka lebih berat bebanan ke atas lokap dan penjara, seterusnya membawa risiko keadaan sesak. Ini juga bermakna risiko jangkitan bertambah. 

Mengumpulkan gelandangan dan meletakkan mereka di satu tempat juga membawa risiko yang sama.

Mereka yang memang hidup terjarak akan berada di ruang terhad: sekali lagi bertentangan dengan tujuan PKP dan menambah risiko jangkitan. 

Kami sedar dalam keadaan krisis, perlu ada keseimbangan.

Oleh itu, kami menyeru pihak kerajaan mengkaji implikasi dari perspektif kesihatan awam.

Kerajaan perlu sedar, mengehadkan pergerakan adalah sebahagian usaha ke arah menghadkan penularan Covid-19, bukannya tujuan mutlak polisi ini. 

Polisi baharu PKP tidak harus menambahkan kesesakan berbanding sebelumnya. Adalah penting kerajaan mengkaji implikasi polisi mereka dan menguruskan kesan-kesan yang tidak dijangka dengan baik. 

Seperti juga dengan polisi penghantaran makanan oleh NGO, polisi sebegini jelas perlu kajian dan maklum balas pakar sebelum diumumkan kepada rakyat. 

Kami menyeru kerajaan menjemput pakar kesihatan awam sebagai ahli tetap di Majlis Keselamatan Negara dalam tempoh krisis Covid-19 ini. 

Kami berharap kerajaan akan lebih berhati-hati dalam menggubal polisi, kerana ia melibatkan nyawa rakyat Malaysia. – 31 Mac, 2020.

* Altaf Deviyati, Dr Khor Swee Kheng, Nathaniel Tan, Dr B. Priya Lakshmy, Dr Siti Noor Munirah Ibrahim, Kabinet Rakyat (Majlis Keselamatan Negara) Projek Wawasan Rakyat.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen