Aturan sosial untuk melumpuhkan Covid-19


“…But Macron doesn’t know. It’s “at the same time.” He’s not against the left, he’s not against the right. He’s happy to say that you need to quarantine yourself, but at the same time you need to go and vote; that one shouldn’t go out, but it’s ok if it’s a football match between France and Italy; that it’s forbidden to go out, but at the same time it’s ok to take part in a sporting activity…

Petikan berikut merupakan wawancara ringkas yang termuat dalam akhbar RT bersama dengan Michel Onfray, ahli falsafah Perancis kelmarin bertajuk ‘Failed liberalism left us without masks’: Covid-19 crisis exposed Western liberal democracy, brought back ideals of ‘sovereignty’.

Dalam wawancara tersebut, Onfray secara tegas menempelak kepimpinan Emmanuel Macron, Presiden Perancis dalam pengurusan pandemik Covid-19 yang sedang merebak ke serata dunia.

Baginya, Macron gagal menunjukkan kepemimpinan yang tegas dan pembuatan keputusan yang muktamad ketika menguruskan bencana global. Analogi petikan di atas dari Onfray yang menunjukkan Presiden Macron seolah-olah bersikap ‘cair’, tidak ada ya atau tidak, berbolak-balik, tetapi hanya menawarkan tindak-tanduk yang samar-samar bagaimana seharusnya rakyat Perancis menghadapi wabak koronavirus tersebut.

Sehingga semalam, Perancis mempunyai sejumlah 44,550 kes dan sudah lebih 3,000 kematian akibat wabak Covid-19. Manakala di Itali pula, yang kini merupakan pusat bencana (epicentre) mencatatkan kes jangkitan wabak COVID-19 sebanyak lebih 100,000 kes dan 11,591 kematian setakat semalam.

Akhbar New York Times dalam satu artikelnya, ‘Italy, Pandemic’s New Epicenter, Has Lessons for the World’ menyimpulkan beberapa faktor bagaimana virus yang pada asalnya muncul dari Wuhan, China, tetapi telah melanda Itali dengan begitu teruk sekali berbanding tempat kelahiran asal virus tersebut. 

Ada beberapa faktor yang menarik untuk diperhatikan, seperti keputusan yang tidak segera dan muktamad pemimpin politik di Itali, media yang tidak begitu memainkan peranan dalam memberi amaran bahaya koronavirus, ketidaksepaduan wilayah dalam respons terhadap virus tersebut, dan pandangan yang bercampur-aduk daripada ahli politik dan saintis.

Lantas ia mengakibatkan rakyat mempunyai persepsi pemikiran yang tidak seragam terhadap tahap jangkitan dan bahaya virus tersebut.

Ia termanifestasi apabila masih ramai yang mengamalkan rutin seperti biasa, seperti pergi bekerja dan menghadiri keramaian sosial apabila perkara tersebut tidak sepatutnya berlaku.

Punca utamanya bukanlah rakyat yang berkumpul, ia hanyalah kesan daripada sebab-akibat, atau lebih sesuai dikenal sebagai punca lapisan kedua, tetapi punca utamanya adalah kegagalan pemimpin Itali dalam mempunyai sebuah formasi, suara dan respon yang seragam dalam menghadapi wabak tersebut.

Misalnya, Datuk Bandar Milan, Beppe Sala, memulakan kempen ‘Milan Doesn’t Stop’ dan membuka kembali Duomo, tumpuan pelancong di Milan, hanyalah sebuah kesan bagaimana rantaian respons terhadap virus tersebut tidak mempunyai koordinasi yang baik dan tepat.

Ahli-ahli politik mereka juga membuat tindakan yang lambat kerana gusar penguncian sepenuhnya akan menjejaskan ekonomi dan tidak dapat menerima hakikat mereka gagal mengekang penularan jangkitan tersebut.

Di segmen dunia yang lain pula, akhbar The Guardian melaporkan ramalan WHO bahawa Amerika Syarikat bakal menjadi pusat bencana seterusnya selepas Itali, ketika kes di AS semakin meningkat, ditambah pula dengan ucapan Presiden Trump yang berpendapat ekonomi mereka perlu dibuka semula.

Tindak balas AS terhadap virus Covid-19 tersebut seolah-olah adalah sama dengan Itali pada mula mereka menghadapi bencana tersebut. 

Pada 22 Januari, beliau telah menyatakan bahawa segalanya mengenai wabak tersebut adalah berada dalam keadaan yang baik dan terkawal (yang kita sedar bahawa ia dalam sindrom penafian).

Micah Zenko dalam artikel ‘The Coronavirus Is the Worst Intelligence Failure in U.S. History’ (Foreign Policy) menunjal kelemahan Presiden Trump yang memperlekehkan bahaya koronavirus tersebut, sehingga mempengaruhi tindak-tanduk birokrat dan komuniti perisikan yang mengambil remeh tentang ancaman virus tersebut, yang akhirnya memberi kesan terhadap sejauhmana pelaksanaan dan keseriusan kerajaan dalam menangani ancaman virus tersebut.

Hasilnya, pada minggu lepas, ramai mahasiswa mereka yang sedang dalam tempoh cuti musim panas memenuhi pantai-pantai dan taman awam tatkala keluk jangkitan tersebut perlu didatarkan (yang sedang dihadapi oleh penduduk seluruh dunia).

Presiden Trump juga telah banyak berbeza pandangan dengan Anthony Fauci, immunologis dari Institut Kesihatan Kebangsaan mengenai wabak tersebut. Salah satunya apabila Fauci tegas dengan keperluan untuk mengekalkan penjarakkan sosial dan sebolehnya perlu lebih agresif, namun berbeza pula dengan Trump yang berpendapat sebaliknya.

Dalam ciapannya mengenai perkara tersebut, beliau mengujarkan, “Our people want to return to work. They will practice Social Distancing and all else, and Seniors will be watched over protectively & lovingly. We can do two things together. THE CURE CANNOT BE WORSE (by far) THAN THE PROBLEM! Congress MUST ACT NOW. We will come back strong!”.

Kemungkinan besar ia telah mencipta mesej yang tidak seragam terhadap tahap bahaya dan jangkitan virus tersebut, disebabkan wujud dua pandangan yang berbeza, daripada ahli politik dan saintis. Ketika ini, Amerika Syarikat mempunyai sejumlah 115,000 kes dengan rekod 1,900 kematian.

Dalam beberapa contoh di atas, telah disingkap bagaimana tindakan yang berbolak-balik, mesej yang bercampur-baur khususnya tahap bahaya koronavirus ini, dan perbezaan pendapat antara pemimpin dan pakar menjadi antara punca mengapa rakyat mereka telah terbahagi kepada dua; yang mematuhi arahan kesihatan (untuk menjarakkan diri secara sosial dan tidak keluar rumah seperti berjoging sesuka hati), dan yang segera berpuas hati dengan penjelasan pemimpin politik mereka (misalnya, tidak mengapa untuk berjoging atau bekerja asalkan mengamalkan penjarakkan sosial).

Namun, yang terpaling penting, perbezaan tersebut akhirnya telah meranapkan aturan sosial yang pada awalnya berpotensi menjadi pemutus jangkitan wabak Covid-19.

Kita tidak boleh mengabaikan andaian ‘sekiranya berjoging hanya seorang tidak mengapa’. Dengan mengabaikan 100 orang mengandaikan perihal yang sama, akhirnya memenuhi litar dan trek joging di taman-taman dan tasik.

Jangkitan koronavirus juga tidak sepatutnya disempit-fikirkan hanya kepada titisan-titisan batuk dan selsema. Bagaimana dengan pemegang pintu tandas awam, bangku-bangku di litar joging, dan infrastruktur-infrastruktur fizikal yang berisiko telah disentuh oleh pembawa?

Wujudnya aturan sosial baharu bagi mengawal pergerakan adalah untuk meminimakan serta melarang rakyat hadir ke tempat-tempat atau bangunan-bangunan dan mereka yang dikhuatiri pembawa berisiko Covid-19.

Melanggar aturan tersebut berisiko mendedahkan pembawa bersama-sama rakyat di dalam satu ruang udara dan bangunan yang sama, berpotensi mencerunkan lagi puncak keluk jangkitan kes Covid-19 tersebut, justeru menjustifikasikan tindakan melanggar PKP dianggap sebagai suatu jenayah.

Amat menyedihkan apabila saban hari kita melihat di laman-laman akhbar atas talian yang kerap kali melaporkan kes-kes penahanan individu yang melanggar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), atas alasan berjoging, melepak sesuka hati secara berkumpulan, bersukan di kemudahan awam, mengerumuni halaman rumah rakan sesuka hati.

Cukup membimbangkan apabila gambar-gambar mereka yang memenuhi pasar-pasar basah tanpa penjarakan sosial mula tular di media sosial.

Kewujudan aturan sosial melalui PKP dicipta untuk memastikan pembawa virus dapat dikesan, dan tidak menggauli masyarakat awam serta bangunan-bangunan umum sewenang-wenangnya.

Ketika krisis ini berlaku, yang diharapkan adalah kerjasama dan kesepaduan rakyat dalam menangani krisis ini bersama. Itali dan Amerika mempunyai kes yang agak tinggi disebabkan tiadanya kesepaduan daripada rakyat untuk memahami mengapa arahan penjarakkan sosial diperkenalkan.

Keluar sesuka hati meskipun ditegah berbuat sedemikian. Tambah-tambah dengan perbezaan pendapat antara elit pengurusan mereka, namun, kita jauh lebih baik dari itu, hanyalah masalahnya segelintir rakyat yang masih ‘memberontak’ untuk menggugat aturan sosial ini.

Pada perkiraan saya, memang wajar sekiranya kita menganggap bahawa krisis koronavirus ini adalah satu bentuk ‘peperangan’ terhadap musuh yang tak terlihat dengan mata kasar.

Justeru, dalam peperangan, strategi, koordinasi yang tepat dan disiplin dari kepimpinan perlu dilunaskan agar peperangan tersebut dapat dimenangi sebaik yang mungkin.

Dalam contoh menangani krisis Covid-19 ini, strategi yang paling bernas adalah keseragaman rakyat dan kerajaan sebagai sebuah pasukan perang. Dalam satu pasukan bagi mencapai objektif yang sama, kerajaan dan rakyat tidak boleh terlihat mempunyai persimpangan yang ketara.

Misalnya seperti berjoging dan penjarakan sosial, keputusan berjoging tidak boleh dilakukan secara memetik buah ceri kerana itu samalah seperti keluar tanpa alasan yang munasabah dan mengikut keperluan, walaupun tidak bertegur sapa dan mengamalkan penjarakkan sosial.

Apa alasannya jika orang lain boleh sahaja bersenam di rumah tetapi para pelari ini begitu menggigil sekali hendak berjoging di luar rumah?

Tanpa disangkal-sangkal lagi, untuk menyelamatkan kemanusiaan, keinginan diri secara individu dan andaian peribadi tidak patut dijadikan pertimbangan utama, sebaliknya mematuhi aturan sosial untuk mendatarkan keluk patut lebih diberi keutamaan.

Kerana untuk apa kebebasan pada waktu ini jika ia memamah diri sehingga selayaknya ia digelar tragedi?

Perlukah kita untuk dimarahi seperti datuk bandar Itali yang kini memarahi rakyatnya untuk pulang ke rumah jika tiada apa-apa urusan penting, di tempat yang kini dianggap sebagai ‘ground zero’ wabak. – 31 Mac, 2020.

* Faiz Kamaruddin, pembaca The Malaysian Insight.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen