Pastor ditahan, langgar perintah kuarantin di Florida


Setakat semalam, Florida melaporkan 5,400 kes Covid-19 dengan 63 kematian akibat Covid-19. – Gambar EPA, 31 Mac, 2020.

SEORANG pastor ditahan di Florida semalam kerana berulang-kali mengadakan upacara keagamaan dengan ratusan pengikut, dan melanggar perintah berkurung bagi membendung penularan Covid-19, kata polis.

Pastor Ronald Howard-Browne, 58, ditahan kerana mengadakan perhimpunan tidak sah dan melanggar perintah kuarantin dengn mengadakan dua program agama pada Ahad di Tampa.

Pastor itu sengaja dan berulang-kali mengabaikan perintah pihak berkuasa kesihatan tempatan dan negeri, di mana perbuatan itu membahayakan jemaah dan masyarakat di situ, kata Sherif Hillsborough Chad Chronister.

Howard-Browne, penyokong kuat Presiden Donald Trump, tidak percaya penyakit Covid-19 sesuatu yang serius dan menuduh media memperbesarkan isu agama dan kebencian.

Beliau menganggap gerejanya, The River di Tampa Bay, perlu mengadakan program agama dan terus dibuka ketika pandemik ini.

Susulan waran tangkap dikeluarkan, Howard-Browne menyerah diri dan dibebaskan kurang sejam kemudian dengan ikat jamin AS$500.

Setakat semalam, Florida melaporkan 5,400 kes Covid-19 dengan 63 kematian. – AFP, 31 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen