Tiada tempat kebumi jenazah mangsa Covid-19 di Iraq


Anggota pasukan perubatan menyembur cecair pembasmi kuman kepada jemaah syiah yang berjalan kaki ke makam Mousa al-Kadhim di Baghdad, Iraq, 20 Mac lalu. Iraq kini mengenakan perintah berkurung hingga 11 April. – Gambar EPA, 31 Mac, 2020.

BAGI Saad Malik, kehilangan bapanya kerana koronavirus adalah permulaan mimpi ngerinya. Kini lebih seminggu, semua tapak perkuburan di Iraq enggan membenarkan jenazah lelaki warga emas itu dikebumikan.

Bimbang wabak itu boleh merebak daripada jenazah ke pusat penempatan berhampiran, pihak berkuasa agama Iraq, puak dan penduduk menghantar kembali mayat mangsa wabak Covid-19 ke bilik mayat di hospital, dan ia berlambak di situ.

“Kami tidak dapat mengadakan majlis pengebumian untuk bapa, walaupun sudah lebih seminggu dia meninggal dunia,” kata Malik.

Sekumpulan lelaki bersenjata mendakwa sebagai ketua puak mengugut Malik, keluarga dan rakannya, berkata mereka akan membakar keretanya jika mereka cuba mengebumikan jenazah itu di kawasan mereka.

Dalam Islam, jenazah perlu dikebumikan secepat mungkin, biasanya dalam tempoh 24 jam. Pembakaran mayat diharamkan.

Iraq setakat ini melaporkan lebih 500 kes Covid-19 dan 42 kematian, tetapi jumlah sebenar mungkin lebih tinggi kerana sedikit saja daripada 40 juta populasi rakyat negara itu yang menjalani ujian saringan.

Pihak berkuasa mengisytiharkan perintah berkurung di seluruh negara hingga 11 April, mengarahkan rakyat duduk di rumah bagi membendung penularan Covid-19. – AFP, 31 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen