36,674 maut di seluruh dunia akibat Covid-19


Sebuah bangunan pejabat kerajaan di Madrid dijadikan bilik mayat untuk menempatkan mayat pesakit Covid-19. Lebih 3,000 kematian direkodkan di Sepanyol setakat ini. – Gambar EPA, 31 Mac, 2020.

JUMLAH kematian akibat wabak Covid-19 di seluruh dunia semalam meningkat kepada 36,674, dengan lebih dua pertiga daripadanya dilaporkan di Eropah.

Sejumlah 757,940 kes jangkitan direkodkan di 184 negara dan wilayah sejak epidemik itu kali pertama muncul di China pada Disember. Daripada jumlah itu, 148,700 pada masa ini dianggap pulih.

Jumlah itu yang dikumpulkan menggunakan data daripada pihak berkuasa negara terbabit dan maklumat daripada Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), mungkin hanya mewakili satu bahagian daripada jumlah sebenar jangkitan.

Kebanyakan negara hanya membuat ujian kes yang memerlukan pesakit dimasukkan ke hospital.

Itali yang merekodkan kematian pertama koronavirus pada hujung Februari, kini mencatatkan 11,591 kematian dengan 101,739 jangkitan dan 14,620 pulih.

Sepanyol merekodkan 7,340 kematian, termasuk 812 dalam tempoh 24 jam lalu, dan 85,195 jangkitan.

China – tidak termasuk Hong Kong dan Macau – setakat ini mengisytiharkan 3,304 kematian dan 81,470 kes jangkitan, dengan 75,448 pulih. Ia melaporkan 31 kes jangkitan baharu dan empat kematian sejak Ahad.

Perancis melaporkan 3,024 kematian dan 44,550 kes jangkitan.

Amerika Syarikat mencatatkan jumlah jangkitan tertinggi dengan 153,246 kes, 2,828 kematian dan 5,545 pulih. Kes di AS melonjak dari 41,511 seminggu lalu.

Sejak lewat semalam, Angola mengumumkan kematian pertama dan Botswana melaporkan kes pertama koronavirus.

Eropah melaporkan 413,832 kes dan 26,543 kematian setakat ini, Asia 106,891 kes dan 3,837 kematian, Timur Tengah 51,377 kes dan 2,856 kematian, AS dan Kanada 160,532 kes dengan 2,898 kematian, Amerika Latin dan Caribbean 15,334 kes dengan 357 kematian, Afrika 5,113 kes dengan 163 kematian dan Oceania 4,865 kes dengan 20 maut. – AFP, 31 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen