Selangor mula salur barang makanan kepada penduduk Sungai Lui


Trak polis memasuki Jalan Hulu Langat di Sungai Lui, Selangor. Kerajaan mengenakan PKPD di kawasan itu selepas 71 kes Covid-19 dikesan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 30 Mac, 2020.

MULAI malam ini, Selangor akan membekalkan barangan makanan kepada semua isi rumah di kawasan Sungai Lui, Hulu Langat yang diletak di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD), kata Menteri Besar Amirudin Shari.

Amirudin berkata pihaknya juga bersedia membantu menambah sebarang keperluan sepanjang tempoh PKPD di kawasan itu.

“Pemakluman secara menyeluruh juga akan dilakukan kepada semua yang terlibat melalui ‘Info On Wheels’ Jabatan Penerangan Negeri Selangor termasuk siaraya di masjid dan surau di setiap kawasan tentang perkara-perkara yang perlu dipatuhi sepanjang PKPD serta maklumat yang boleh dihubungi sekiranya berlaku sebarang kecemasan luar jangka,” menurutnya dalam kenyataan di Shah Alam hari ini.

Menyentuh PKP fasa kedua yang bermula pada 1 April, beliau berkata operasi Pasar Borong dan Pasar Awam akan dihadkan sehingga 4 petang manakala perniagaan lain seperti kedai serbaneka, stesen minyak, kedai makan dan restoran hanya dibenarkan beroperasi dari 8 pagi hingga 8 malam.

“Penyelarasan lanjut dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta Pegawai-Pegawai Daerah selaku Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Daerah akan diselaraskan oleh Pentadbiran setiausaha kerajaan negeri Selangor.

“Kerajaan negeri akan terus memberi kerjasama kepada Majlis Keselamatan Negara dalam melaksanakan mekanisme yang berkaitan dalam usaha menggempur penularan Covid-19,” katanya. – Bernama, 30 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen