ASNB umum agihan pendapatan 5 dana


PNB berkata ASB 2 mencatatkan pendapatan bersih direalisasi berjumlah RM413.30 juta, manakala ASM mencatatkan pendapatan bersih direalisasi berjumlah RM646.70 juta. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Mac, 2020.

AMANAH Saham Nasional Bhd (ASNB), syarikat pengurusan unit amanah milik penuh Permodalan Nasional Bhd (PNB), mengumumkan pengagihan pendapatan untuk lima dana bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac, 2020.

Lima dana itu ialah Amanah Saham Bumiputera 2 (ASB 2) dan Amanah Saham Malaysia (ASM), yang merupakan dana harga tetap manakala ASN Equity 3, ASN Imbang 2 dan ASN Sara 1, adalah dana harga berubah.

“ASB 2 dan ASM telah mengatasi penanda aras Simpanan Tetap 12-Bulan Maybank, di mana jumlah pulangan tahunan bagi dana-dana tersebut telah dicatatkan pada kadar pengagihan masing-masing sebanyak 4.75% dan 4.25%,” menurut PNB, berbanding kadar pulangan 2.60% yang telah dicatatkan oleh Simpanan Tetap 12-Bulan Maybank.

Dalam kenyataan hari ini, katanya pengagihan pendapatan ASB 2 sebanyak 4.75 sen seunit kepada 439,543 pemegang unit dan 4.25 sen seunit kepada 553,188 pemegang unit ASM.

Jumlah pembayaran pendapatan mencecah hampir RM1.4 bilion bagi kedua-dua dana tersebut, katanya.  

Setakat 29 Februari 2020, PNB berkata ASB 2 mencatatkan pendapatan bersih direalisasi berjumlah RM413.30 juta, manakala ASM mencatatkan pendapatan bersih direalisasi berjumlah RM646.70 juta.

“ASNB turut mengumumkan pengagihan pendapatan sebanyak 3.25 sen seunit kepada 89,327 pemegang unit ASN Equity 3, 3.50 sen seunit kepada 86,426 pemegang unit ASN Imbang 2 dan 4.55 sen seunit kepada 69,872 pemegang unit ASN Sara 1, dengan jumlah pembayaran pengagihan pendapatan bagi ketiga-tiga dana berjumlah RM228.7 juta. 

“Jumlah pulangan bagi ketiga-tiga dana telah ditanda aras berbanding FBM 100 dan Simpanan Tetap 12-Bulan Maybank, pada nisbah yang ditetapkan untuk setiap dana,” menurut PNB.

Katanya pengagihan pendapatan tersebut diperoleh daripada keuntungan direalisasi, dividen dan pendapatan lain.

“Selari dengan penanda aras yang telah ditetapkan, PNB sentiasa mengekalkan strategi peruntukan aset berhemah dan pegangan saham yang besar di pasaran awam memastikan PNB mempunyai tahap kecairan pelaburan yang diperlukan untuk memberi pulangan yang mampan kepada pemegang unit.

“Di sebalik cabaran yang dihadapi sepanjang 2019, portfolio dana PNB kekal kukuh secara relatif, berbanding penanda aras masing-masing, yang mana sebahagian besarnya disumbang oleh pegangan saham berkualiti tinggi dengan asas yang kukuh, serta langkah yang telah diambil bagi mempelbagaikan lagi portfolio,” katanya.

Dalam keadaan semasa yang tidak pernah berlaku sebelum ini, PNB mengingatkan kepada pelabur syarikat akan terus mengalami tekanan untuk meraih pendapatan dan ini tidak terhad kepada pasaran Malaysia sahaja tetapi juga pasaran global.

Walaupun impak ekonomi dari keadaan semasa akan dirasakan secara meluas, katanya sebagai pelabur jangka masa panjang, pasaran dijangka akan pulih dalam jangka masa sederhana dan panjang, setelah berubah mengikut keadaan baharu.

“Bagi memenuhi keperluan dalam keadaan baharu ini, PNB akan memfokuskan usaha untuk memanfaatkan prospek yang ditawarkan oleh pasaran dengan harga saham di bawah nilai sebenar, ke arah memastikan PNB mampu bertahan sepanjang ketidaktentuan ini,” katanya. – Bernama, 30 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen