85 individu didakwa kerana ingkar PKP


PKP yang masuk hari ke-13 menyaksikan lebih ramai dihadapkan ke mahkamah, termasuk seorang doktor dan beberapa remaja berumur 16 tahun. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Mac, 2020.

SEJUMLAH 85 individu didakwa di Mahkamah Majistret dan Sesyen di beberapa negeri hari ini kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan bagi membendung penularan wabak Covid-19.

PKP yang masuk hari ke-13 menyaksikan lebih ramai dihadapkan ke mahkamah, termasuk seorang doktor dan beberapa remaja berumur 16 tahun.

Antara pertuduhan yang dikemukakan ialah menghalang tugas penjawat awam dalam menjalankan fungsi mereka semasa tempoh PKP mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mereka juga didakwa gagal mematuhi PKP dengan bergerak dari satu tempat ke tempat lain dalam mana-mana tempat jangkitan di bawah Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan)  2020 yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara enam bulan dan denda RM1,000 atau kedua-duanya.

Di Pulau Pinang, Dr Ong Hean Teik, 61, yang bertugas di sebuah klinik swasta, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret George Town atas dua pertuduhan iaitu menghalang tugas penjawat awam dan melanggar PKP.

Tertuduh didakwa menghalang penguat kuasa Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) Muhd Alif Aizad Abd Latiff menjalankan fungsi awamnya di Taman Bandaraya Pulau Pinang, Jalan Persiaran Kuari pada 6 petang 19 Mac.

Bagi pertuduhan kedua, Ong didakwa telah keluar dari rumah di Tanjung Bungah ke Taman Bandaraya Pulau Pinang bukan bertujuan untuk melakukan mana-mana perkara yang diperuntuk di bawah Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 pada 4.45 petang, tarikh yang sama.

Majistret Jamaliah Abd Manap membenarkan Ong diikat jamin RM13,000 bagi kedua-dua pertuduhan serta mengarahkan tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melapor diri di balai polis berhampiran sekali pada setiap sebulan, sebelum menetapkan 9 Jun bagi sebutan semula kes.

Di mahkamah sama, tujuh lelaki didenda RM1,000 dan dikenakan hukuman Perintah Kehadiran Wajib (PKW) selama tiga bulan kerana berada di kawasan jangkitan tanpa alasan munasabah dalam tempoh PKP yang dilaksanakan mulai 18 Mac.

Mahkamah menjatuhkan hukuman itu selepas enam tertuduh yang berumur 24 tahun dan seorang lagi berumur 56 tahun mengaku keluar dari rumah masing-masing ke padang bola Jalan DS Ramanathan di belakang Hospital Adventist Pulau Tikus dekat Pulu Pinang.

Di Perlis, seorang pesawah, Saiful Hizam Abdul Latif, 47, dan seorang penganggur, Noor Shabuddin Saidin, 24, dihukum penjara dua bulan selepas mengaku mencuri 18 biji mangga harum manis serta melanggar PKP di Mahkamah Majistret Kangar hari ini.

Majistret Kamaliza Md Zain menjatuhi hukuman penjara sebulan bagi pertuduhan mencuri dan dua bulan bagi kesalahan mengingkari PKP serta memerintahkan kedua-dua hukuman berjalan serentak.

Mereka didakwa mencuri buah itu di kawasan kebun harum manis di Jalan Guar Nangka, Kampung Cikgu Ali, Mata Ayer di sini pada 9.30 pagi 25 Mac mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara tujuh tahun dan denda.

Mereka juga didakwa gagal mematuhi arahan PKP pada 9.30 pagi 25 Mac.

Di Kedah, sejumlah 33 individu mengaku bersalah melanggar PKP dan masing-masing dihukum penjara antara dua dan 14 hari serta denda antara RM500 dan RM1,000 oleh Mahkamah Majistret Alor Setar.

Majistret Siti Noorhidayah Mohd Noor menjatuhkan hukuman itu ke atas empat remaja lelaki dan seorang remaja perempuan berumur 16 tahun manakala yang lain berusia lingkungan 30-an hingga 50-an.

Mereka ditahan di lokasi berasingan sekitar Mergong, Simpang Empat, Kuala Kedah dan Alor Setar antara 26 hingga 28 Mac.

Di Kuala Lumpur, 11 lelaki mengaku bersalah melanggar PKP dan sembilan daripada mereka didenda RM1,000 manakala dua lagi dihukum penjara sebulan oleh Majistret Wong Chai Sia.

Kesemua tertuduh, yang berusia lingkungan 19 tahun hingga 50-an, ditahan di lokasi berasingan sekitar Kepong, Brickfields, Sentul serta Wangsa Maju pada 28 dan 29 Mac.

Di Selangor, seorang juruteknik lelaki berusia 27 tahun didenda RM1,000 oleh Mahkamah Sesyen Sepang selepas mengaku gagal mematuhi PKP pada 8.45 malam 25 Mac.

Di Terengganu, 30 individu termasuk dua wanita didakwa di empat mahkamah kerana melanggar PKP.

Kesemua tertuduh, yang berusia lingkungan 17 hingga 39 tahun, didakwa melakukan kesalahan itu antara 4.30 petang hingga 11.45 malam di pelbagai lokasi termasuk Manir, Kuala Nerus, Marang dan Dungun, antara 27 Mac hingga 29 Mac.

Di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, lapan lelaki mengaku bersalah dan dihukum penjara antara tujuh hingga 14 hari manakala seorang lagi minta dibicarakan.

Di Mahkamah Sesyen Kemaman, sejumlah 14 individu termasuk dua wanita didenda RM1,000 atau penjara 20 hari selepas mengaku bersalah melanggar PKP.

Di Mahkamah Majistret Marang, tiga lelaki didenda RM1,000 atau penjara tiga bulan manakala seorang remaja berusia 17 tahun dibenarkan ikat jamin RM1,000 sementara menunggu mahkamah mendapatkan laporan akhlak. Kesemua mereka mengaku bersalah. 

Di Mahkamah Majistret Dungun, empat lelaki termasuk dua warga asing turut didakwa atas kesalahan sama dan dua daripada mereka mengaku tidak bersalah manakala dua lagi dihukum penjara 14 hari dan denda RM1,000 atau penjara tiga bulan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya Nur Nabihah Hanin Ayim, M. Lishantini, Ahmad Hafizuddin Manjur Ahmad dan Ahmad Syafiq Aizat Nazri. – Bernama, 30 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen