Menara City One premis pertama di KL kena PKPD


Menara City One, Jalan Munshi Abdullah di Kuala Lumpur dikenakan PKPD susulan 17 kes positif jangkitan Covid-19. – Gambar Facebook, 30 Mac, 2020.

SATU kompleks kondominium dan komersial Menara City One diletakkan bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) berkuatkuasa esok, kata Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob.

Ia ekoran penemuan 17 kes positif Covid-19 di bangunan tersebut yang menempatkan 3,200 penghuni, katanya dalam satu kenyataan.

Bangunan itu menjadi kawasan ketiga diletakkan bawah PKPD selama 14 hari untuk membendung jangkitan penyakit berbahaya itu. 

Dengan kawalan lebih ketat itu, semua penghuni tidak dibenarkan keluar dari kawasan PKPD sepanjang tempoh perintah dikuatkuasakan, seperti di dua kawasan yang dikenakan perintah sama.

Pelawat dan mana-mana individu juga tidak dibenarkan masuk semua aktiviti perniagaan dihentikan kecuali yang menyedia barangan keperluan.

Penghuni juga masih dibenarkan membuat pesanan penghantaran makanan di kawasan yang dikawal tentera, polis, Angkatan Pertahanan Awam dan Rela.

Satu pangkalan perubatan juga akan dibuka di kawasan itu, kata Ismail Sabri.

“Bagi pelaksanaan perintah ini, semua penghuni diminta untuk bertenang dan memberi kerjasama sepenuhnya kepada petugas-petugas daripada KKM serta mematuhi semua arahan pihak berkuasa,” katanya.

Perintah PKPD pertama dikuatkuasa di Simpang Renggam pada Jumaat melibatkan 3,570 orang penduduk dari 650 buah keluarga ekoran tumpuan 81 kes positif Covid-19 di situ.

Kebanyakan jangkitan itu didapati berpunca daripada pertemuan semasa kenduri kahwin.

Perintah kedua dikuatkuasa di Hulu Langat semalam apabila didapati terdapat 271 kes Covid-19 tertumpu dikawasan itu.

Kebanyakan daripada terdiri daripada penghuni maahad tahfiz dan individu yang dikaitkan dengan perhimpuan jemaah tabligh Sri Petaling.

Penghuni Menara One City yang terjejas boleh menghubungi talian khas 03-2694 3243/ 03-4026 7222 atau 013-329 5141. – 30 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen