Lonjakan kes di Hulu Langat punca PKPD, kata Dr Noor Hisham


Terdapat lonjakan kes di Hulu Langat menyebabkan perintah kawalan pergerakan diperketatkan dilaksanakan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 30 Mac, 2020.

HULU Langat menjadi kawasan kedua diletakkan di bawah perintah kawalan pergerakan diperketatkan kerana lonjakan kes jangkitan Covid-19 di sana, kata Kementerian Kesihatan.

“Terdapat 71 kes positif di satu tempat sahaja di Hulu Langat. Sekarang terdapat 271 kes terkumpul di sana,” kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah pada taklimat harian kepada media di Putrajaya, hari ini.

Beliau menjelaskan yang Hulu Langat menjadi “kawasan panas” atau zon merah disebabkan lonjakan kes itu.

“Zon kuning sekitar 21-40 kes. Tetapi ada lonjakan tiba-tiba di sana dan kita perlu ambil tindakan drastik menghentikannya.”

Tambahnya, kebanyakan kes berkaitan dengan kluster himpunan tabligh Masjid Seri Petaling.

“Kluster tabligh kini sudah tersebar melepasi lima generasi (jangkitan) dan ada antara mereka yang tinggal di kawasan Hulu Langat.”

KKM juga sudah mengenalpasti 18,271 peserta himpunan itu dan seramai 14,111 sudah diuji.

“Daripada jumlah itu, 1,290 orang positif Covid-19 sementara 8,083 lagi negatif. Selebihnya masih menunggu ujian makmal,” kata Dr Noor Hisham.

Kerajaan memutuskan melaksanakan PKPD di Hulu Langat selepas pihak berkuasa menemui 71 kes positif Covid-19 daripada 2,714 pelajar Maahad Tahfiz An-Nabawiyyah di Batu 23, semalam.

Dr Noor Hisham berkata pegawai KKM sudah mula menjalankan ujian sejak dua hari lepas.

“Kami mula menjalankan 300 ujian sehari dan berharap dapat siapkan ujian dalam tempoh 10 hari lagi.”

Terdapat 3,918 penduduk di kawasan Hulu Langat terdiri daripada 700 isi rumah di lima buah perkampungan Melayu dan dua perkampungan Orang Asli.

“KKM melakukan ujian dari rumah ke rumah dan mengenalpasti kontak rapat di kawasan itu.”

Hulu Langat adalah kawasan kedua dikenakan PKPD selepas Simpang Renggam di Johor minggu lepas.

PKPD di Sungai Lui dijangka berkuatkuasa sehingga 13 April. – 30 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen