Tiada kenaikan mendadak kes Covid-19


TIADA pertambahan mendadak bagi jumlah kes Covid-19 setakat ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah.

“Kami memantau rapi kes dan membandingkannya dengan negara lain. Tiada lonjakan pertambahan lagi,” kata Noor Hisham dalam taklimat akhbar Covid-19 hariannya di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata kenaikan 150 hingga 200 kes setiap hari adalah “stabil” dan pertambahan dikaitkan dengan pemeriksaan aktif kes oleh KKM.

“Apa yang kita bimbang adalah lonjakan mendadak sebanyak 900 hingga 1,000 kes setiap hari. Setakat ini, terdapat kira-kira 150 hingga 200 kes,” katanya.

Noor Hisham berkata demikian ketika menjawab soalan sama ada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berpuas hati dengan tindakan perintah kawalan pergerakan (PKP).

“Setakat ini, kita tmelihat kira-kira lapan kes positif bagi setiap 100 ujian. Ini berada dalam julat dan tiada lonjakan.

“Tetapi kami bersiap sedia sebarang situasi lebih teruk dan pada masa sama berharap yang terbaik,” kata Noor Hisham.

Beliau berkata ini adalah salah satu sebab mengapa KKM menyediakan pusat kuarantin tambahan dan katil untuk pesakit Covid-19.

Mengenai sama ada PKP akan dilanjutkan, Noor Hisham berkata mereka akan mengkaji semula keadaan selepas minggu pertama April.

“Dua minggu akan datang terpulang kepada kita semua. Sekiranya kita mempunyai disiplin sosial, kita dapat mengurangkan jangkitan untuk mengelakkan kenaikan mendadak.

“Cabaran kami adalah sama ada terdapat gelombang kedua daripada rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara. Kita hanya akan tahu selepas minggu pertama April. Jika kita tidak mempunyai kenaikan mendadak kita boleh mengkaji semula PKP itu lagi. “

Sebelum PKP, terdapat kira-kira 10,000 rakyat Malaysia yang pulang ke negara ini dari luar negara setiap hari, kata Noor Hisham.

“Tetapi sejak PKP, Jabatan Imigresen berkata terdapat hanya 4,000 yang balik sekarang.”

Mereka yang pulang akan disiasat danwalaupun tidak mempunyai gejala akan diarah melakukan kuarantin sukarela selama 14 hari, katanya.

Beliau berkata rakyat Malaysia masih perlu mengamalkan penjarakkan sosial selepas tempoh PKP.

“KKM akan mengeluarkan garis panduan untuk memastikan penjarakkan sosial selepas PKP jika ada bazar Ramadan,” kata Noor Hisham. – 30 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen