Kerana Covid-19, bank makanan New York sedia lebih bantuan


Sebelum ini 1.2 juta orang di New York memerlukan bantuan untuk makanan, tetapi sejak Covid-19, jumlahnya meningkat tiga kali ganda. – Gambar fail EPA, 30 Mac, 2020.

BANK makanan di New York dibanjiri orang ramai yang kehilangan pendapatan sejak hampir semua aktiviti perniagaan di Amerika Syarikat (AS) dihentikan susulan pandemik Covid-19.

Buah oren yang siap dibungkus, kentang manis dan bawang siap tersusun di atas tiga meja di pasar terbuka di Washington Heights, iaitu di utara Manhattan, manakala susu dan tuna serta salmon dalam tin disusun di bahagian lain untuk diedarkan kepada orang ramai.

Beratus-ratus orang datang pada hujung minggu untuk mengumpul makanan di salah satu pusat pengedaran yang dikendalikan oleh badan amal, City Harvest.

Tidak ada barisan panjang kali ini yang mengingatkan kita kepada dapur jalanan pada 1930-an. Sebaliknya, orang ramai memakai topeng muka untuk perlindungan dan menjaga jarak antara satu sama lain mengikut arahan sukarelawan.

Antaranya ialah Lina Alba, 40, ibu tunggal lima anak berusia 11 dan 23 tahun.

Dia bekerja sebagai pembantu rumah di sebuah hotel Manhattan yang ditutup dua minggu lalu.

Dua anak sulungnya turut kehilangan pekerjaan.

“Ia kali pertama saya datang ke sini. Kami memerlukan bantuan sekarang… kami tidak tahu apa yang akan berlaku dalam beberapa minggu.”

Naib Presiden City Harvest Eric Ripert berkata sebelum ini 1.2 juta orang di New York memerlukan bantuan untuk makanan.

“Sekarang, jumlahnya tiga kali ganda, lebih tiga juta warga New York,” katanya yang memiliki restoran terkenal Le Bernardin, yang turut ditutup kerana Covid-19. – AFP, 30 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen