Acara pengebumian ketika PKP, bagaimana ia dilaksana?


The Malaysian Insight

PKP meminimumkan pergerakan orang ramai bagi mengelak penularan wabak Covid-19. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 29 Mac, 2020.

IBU kepada Sam menghembuskan nafas terakhirnya di Taiping, Perak semalam namun dia tidak menghadiri upacara pengebumian sedangkan perjalanan ke tempat pengebumian ibunya hanya memakan masa satu jam dengan memandu ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Sam menetap di Ipoh namun ketika pesara itu mengetahui tentang kematian ibunya, dia pergi mendapatkan kebenaran pihak polis untuk melakukan perjalanan namun dia diberitahu untuk menunjukkan sijil kematian dan sijil kelahirannya bagi membuktikan bahawa dia adalah anak lelaki si mati.

Bukan itu sahaja, Sam juga diberitahu bahawa walaupun polis Ipoh memberikan kebenaran namun dia perlu meminta kebenaran untuk kembali semula ke Ipoh daripada polis Taiping. Terlalu banyak perkara yang sukar ditunaikan menyebabkan Sam akhirnya memutuskan untuk tidak ke Taiping.

Perkara ini adalah satu perkara yang baru dialami rakyat Malaysia berikutan pandemik koronavirus yang menyaksikan negara ini berada di bawah PKP kerana pihak berkuasa menuntut orang ramai duduk di rumah dan mengamalkan jarak sosial ketika keluar mendapatkan keperluan asas.

Sehingga hari ini, virus Covid-19 telah menjangkiti 2,470 rakyat Malaysia dengan 34 kematian dilaporkan. Mangsa-mangsa Covid-19 yang meninggal dunia dibawa ke kubur atau krematorium secara terus dari hospital.

Proses pengebumian, yang biasanya menyaksikan ramai orang berkumpul, kini hanya terhad kepada 10 atau 15 ahli keluarga terdekat dengan si mati. Acara peringatan juga tidak lagi diadakan untuk saudara-mara dan rakan-rakan memberikan penghormatan terakhir mereka.

The Malaysian Insight bercakap dengan pengarah perkhidmatan pengebumian dari beberapa kumpulan agama untuk melihat bagaimana rakyat Malaysia mengucapkan selamat tinggal terakhir kepada mereka yang tersayang di tengah-tengah pandemik Covid-19.

Pengebumian Kristian

Selain menguruskan perkhidmatan peringatan dan pengebumian, Jude Anthony telah menambah tugas lain untuk pekerjanya - mereka harus mengambil butiran semua orang yang hadir, di samping berjaga-jaga terhadap rantaian jangkitan Covid-19 masih lagi aktif.

“Kami memastikan semua butiran orang-orang yang datang direkodkan untuk mengesan kontak jika ia diperlukan nanti. Kami juga memastikan sanitizer ditempatkan secara strategik termasuk pintu gerbang, sementara mikrofon, dan barangan lain sentiasa dibersihkan dan dibasmi kuman,” katanya.

Bagi perkhidmatan acara peringatan dan pengkebumian, beliau berkata, sedih melihat tidak ramai orang yang boleh menghadiri acara itu.

“Sebelum PKP, semua orang yang dikenali si mati boleh mengambil bahagian dalam acara peringatan dan pengkebumian namun kini jumlah orang yang boleh menghadiri bangun dan pengebumian adalah terhad.

“Bagaimana pula dengan keluarga besar yang mempunyai banyak ahli, begitu ramai orang berasa kecewa apabila mereka tidak dapat mengambil bahagian dalam perpisahan terakhir orang yang rapat dengan mereka,” kata Jude.

Beliau berkata kebanyakan acara peringatan dan pengkebumian semasa PKP kini dihadkan kepada 10 hingga 15 orang yang kebanyakannya terdiri daripada ahli keluarga terdekat.

“Yang positifnya, kami setakat ini belum lagi melaksanakan perkhidmatan bagi kes-kes Covid-19, namun kami bersedia untuk mengendalikan kes-kes tersebut jika keadaan memerlukan dengan bantuan garis panduan pihak berkuasa yang berkenaan.”

Secara peribadi, Jude berkata dia berasa tidak dapat melakukan apa-apa bagi keluarga yang tidak boleh mengambil bahagian dalam acara pengebumian bagi orang yang mereka sayangi.

“Kami minta maaf kepada ahli keluarga terdekat yang telah berhijrah ke luar negara dan kini tidak dibenarkan pulang untuk majlis pengebumian,” katanya.

Mufti Pulau Pinang

“Islam mengutamakan melindungi nyawa, dan kerana itu kerja menguruskan jenazah dipermudahkan dalam keadaan tertentu, seperti ketika penularan Covid-19,” kata Mufti Pulau Pinang Wan Salim Wan Mohd Noor.

Katanya, apa yang utama bagi umat Islam sekarang ialah mengelak daripada wabak yang bahaya itu.

“Memelihara nyawa ini wajib. Solat jenazah, hanya fardhu kifayah. Kalau seorang atau dua laksanakan ia masih boleh.

“Dosa tidak mengerjakan solat jenazah gugur bagi semua umat Islam dengan hanya seorang atau dua yang mengerjakannya,” jelasnya.

Antara keperluan lain yang diringankan dalam pengurusan jenazah mangsa Covid-19 termasuklah menggantikan mandi jenazah dengan tayammum (ritual bersuci menggunakan tanah atau debu).

Waris juga tidak dibenar mencium jenazah untuk perpisahan akhir bagi mengelak jangkitan wabak.

Wan Salim juga menjelaskan semua ibadah pada hukum asalnya adalah wajib atau sunat namun dalam keadaan darurat seperti sekarang, kewajipan itu gugur.

“Solat Jumaat pun, kalau hujan atau ribut, itu pun dikira sebagai uzur yang dibenarkan… kita tidak lagi wajib pergi (dalam keadaan itu),” katanya.

Wan Salim mengingatkan bahawa Islam memberikan pilihan – sekiranya dihadapkan dengan sesuatu yang mudarat, mengelaknya adalah lebih utama.

Persatuan Awam Malaysia

Dalam tempoh PKP, keluarga si mati memendekkan proses membakar mayat, kata Presiden Persatuan Awam Malaysia Kong Thian Hau.

“Sebelum ini, acara peringatan akan diadakan selama tiga hingga lima hari, tetapi kini satu hari sahaja yang dihadkan bagi ahli keluarga terdekat, malah ada yang tidak dibenarkan datang untuk berikan penghormatan terakhir mereka,” katanya.

Bendahari persatuan, Lim Kok Chong berkata, selain daripada memendekkan acara, upacara keagamaan juga dibatalkan atau tidak diadakan di ruang awam.
 
“Biasanya upacara pengebumian boleh mengambil masa beberapa jam tetapi kini ia perlu dilakukan dalam masa 10 minit, kata Lim.

“Walaupun untuk upacara terakhir di krematorium, jumlah orang yang hadir tidak boleh melebihi 20 orang.”

Lim berkata kaum keluarga kini hanya boleh membuat upacara berdoa untuk si mati selepas tempoh PKP tamat.

Beliau menambah bahawa pengebumian pada masa ini boleh menjadi rumit kerana keluarga perlu memahami bahawa sekatan yang dikenakan adalah untuk manfaat mereka sendiri.

“Kami perlu memaklumkan kepada keluarga mengenai sekatan dan apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan.”

Perkhidmatan Pengebumian Arumugam

Upacara dan adat kematian masyarakat Cina dan India hanya boleh dihadiri kira-kira 10 ahli keluarga terdekat, kata pengendali upacara kematian bukan Islam, B Arumugam.

Arumugam yang berasal dari Jerantut, Pahang biasanya menjalankan perniagaan di sekitar Pahang dan Lembah Klang.

“Namun, sejak perintah kawalan pergerakan (PKP) dikuatkuasakan, saya hanya boleh beroperasi di tempat tinggal saya sahaja. Malah pada 19 Mac, abang kandung saya meninggal dan kami ahli terdekat yang menguruskan kematiannya.

“Malah, anaknya yang menetap di Tapah, Perak juga perlu membuat laporan polis sebelum meminta kebenaran untuk balik ke Jerantut dan kembali semula ke Perak sebaik sahaja mayat dikebumikan,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Menurutnya, minggu lalu, ada seorang yang kematian bapanya di Klang menghubungi beliau untuk menguruskan kematian bagaimanapun selepas merujuk kepada balai polis terdekat, beliau tidak dapat memberikan perkhidmatannya.

“Dalam keadaan sekarang, jika ada kematian di Klang, hanya saudara mara terdekat di kawasan itu boleh menghadirinya dan mayat perlu dikebumikan atau dibakar pada hari yang sama.

“Khemah juga tidak boleh dipasang dan segalanya perlu dilakukan dalam kawasan rumah sahaja,” katanya.

Menurutnya, jika dahulu masyarakat India dan Cina akan menyimpan mayat untuk sehari dua sementara menunggu ahli keluarga sampai dan melalukan pelbagai adat upacara untuk tempoh dua hari sekurang-kurangnya.

“Namun, kini segalanya perlu diselesaikan dalam tempoh sehari bagi mengelak orang ramai berhimpun di kawasan rumah kematian.

“Di kubur juga, hanya 10 ahli keluarga terdekat dibenarkan untuk menguruskan baki adat dan upacara sebelum dikebumikan,” katanya. – 30 Mac, 2020.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen