Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan di kawasan Sungai Lui


Bukan penduduk dan pelawat tidak dibenarkan masuk ke kawasan Sungai Lui, Hulu Langat sepanjang tempoh perintah dikuatkuasakan dan semua aktiviti perniagaan dihentikan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Mac, 2020.

KERAJAAN menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kawasan Batu 21 hingga Batu 24 Sungai Lui, Hulu Langat, Selangor, mulai tengah malam ini.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob, berkata PKPD itu melibatkan tujuh kampung iaitu dua perkampungan Orang Asli dan lima perkampungan Melayu.

Perintah yang berkuatkuasa mulai tengah malam ini, 30 Mac hingga 13 April itu melibatkan 3,918 orang penduduk merangkumi 700 rumah, katanya dalam kenyataan hari ini. 

Ismail Sabri berkata keputusan itu dibuat setelah mengambil kira jumlah kes positif Covid-19 yang tinggi, membabitkan pelajar Maahad Tahfiz AnNabawiyyah di Batu 23 Sungai Lui, Hulu Langat.

Menurutnya Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan terdapat 71 kes positif  Covid-19 daripada 274 penghuni maahad tahfiz itu.

Tegasnya, dengan pelaksanaan perintah itu semua penduduk dan pelawat yang telah berada di kawasan tersebut tidak dibenarkan keluar rumah sepanjang tempoh perintah dikuatkuasakan.

“Bukan penduduk dan pelawat tidak dibenarkan masuk ke kawasan tersebut sepanjang tempoh perintah dikuatkuasakan dan semua aktiviti perniagaan dihentikan.

“Makanan asas untuk tempoh 14 hari akan dibekalkan kepada semua penduduk oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Pangkalan Perubatan akan dibuka di kawasan tersebut dan semua laluan keluar masuk ke kawasan itu ditutup,” katanya.

Bagi memastikan pematuhan perintah tersebut, Ismail Sabri, yang juga Menteri Pertahanan, berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) akan mengawal seluruh kawasan terbabit.

Semua penduduk diminta bertenang dan memberi kerjasama sepenuhnya kepada petugas KKM serta mematuhi semua arahan pihak berkuasa, katanya.

 Penduduk yang memerlukan bantuan atau mempunyai sebarang pertanyaan boleh menghubungi talian khas 03-89254809 / 03-8911420.

Untuk rekod, itu adalah arahan PKPD yang kedua selepas dua kawasan di Simpang Renggam, Johor iaitu Kampung Dato’ Ibrahim Majid dan Bandar Baharu Dato’ Ibrahim Majid yang dikuatkuasakan, Jumaat lalu. – Bernama, 29 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen