Berhenti salahkan kami, Bersatu langgar Perlembagaan sendiri, kata RoS


Muzliza Mustafa

Kepimpinan Bersatu patutnya tahu yang melanggar Perlembagaan parti dan undang-undang adalah kesalahan serius. Ia berlaku pada 1988 apabila Umno diharamkan kerana melanggar Perlembagaannya sendiri dan Akta Pendaftaran, kata Ketua Pengarah RoS Suriyati Ibrahim hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 17 November, 2017.

JABATAN Pendaftaran Persatuan Malaysia (RoS) akan mengambil tindakan kepada pihak yang cuba memfitnah agensi itu dengan memanipulasikan isu Bersatu dan Armada, kata Ketua Pengarah Surayati Ibrahim.

Surayati berkata Bersatu sendiri melanggar Perlembagaan berdaftar dengan RoS dengan membenarkan Armada beroperasi tanpa mendapat kelulusan pindaan Perlembagaannya.

“Parti itu masih belum adakan mesyuarat agung pertamanya,” katanya.

Surayati berkata mereka yang membuat komen negatif mengenai RoS perlu membaca dahulu Perlembagaan Bersatu yang didaftarkan dengan RoS.

“Jika dakwaan ini berterusan, saya tak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang ke atas dalang tersebut,” katanya pada satu sidang media di Ibu Pejabat RoS di Putrajaya petang tadi.

Sebelum ini Surayati berkata terma “Armada” tidak wujud dalam Perlembagaan Bersatu, yang ada hanyalah terma “Pemuda”.

“Bersatu juga masih tidak memenuhi syarat RoS supaya parti itu mengadakan mesyuarat agung tahunan (AGM) dalam masa setahun ia ditubuhkan,” kata Surayati.

Katanya kedua-duanya adalah kesalahan besar yang boleh menyebabkan pendaftaran parti dibatalkan.

“Kepimpinan Bersatu patutnya tahu yang melanggar Perlembagaan parti dan undang-undang adalah kesalahan serius. Ia berlaku pada 1988 apabila Umno diharamkan kerana melanggar Perlembagaannya sendiri dan Akta Pendaftaran,” katanya.

Walaupun RoS menerima permohonan untuk menangguhkan AGM, ia tidak menemui sebarang peruntukan dalam Perlembagaan parti yang membenarkan AGM ditunda.

“Kami harap rakyat tahu kepentingan kepimpinan parti. Mana-mana organisasi berdaftar di Malaysia termasuklah parti politik umumnya dan Bersatu khususnya melakukan pendaftaran mereka sendiri dan menghantar kepada RoS untuk kelulusan. Ia tanggungjawab kepimpinan parti untuk mentadbir parti. Dalam kes ini, Bersatu membenarkan sayap pemudanya dipanggil ‘Armada’ untuk beroperasi walaupun sebelum pindaan Perlembagaan parti diluluskan RoS,” katanya.

Dua hari lalu, Pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad berkata kegagalan parti itu mengadakan AGM di peringkat cawangan, bahagian dan pusat disebabkan struktur organisasi yang lemah.

Katanya, cawangan dan bahagian parti masih tidak mengadakan mesyuarat di peringkat masing-masing walaupun mempunyai ramai ahli.

“Untuk mengadakan AGM, kita perlu mengadakan mesyuarat di peringkat cawangan dan bahagian tetapi walaupun ada ramai ahli, mereka masih tak buat mesyuarat lagi.

“Malah ada bahagian yang masih tidak terurus sepenuhnya lagi, jadi kami tak boleh tentukan siapa yang akan hadir AGM jika kita buat,” katanya pada sidang media di Parlimen pada 15 November.

Beliau mendedahkan yang cawangan adalah peringkat paling tidak terurus dalam parti yang ditubuhkan September lepas.

Apabila ditanya mengenai pendaftaran Pakatan Harapan, Surayati enggan memberikan komen.

Beliau bagaimanapun  memberikan kenyataan pendek mengenai pemilihan semua Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP pada 12 November.

“Saya masih tak terima sebarang laporan mengenai DAP,” kata Surayati.

DAP mengadakan pemilihan semula CEC pada 12 November selepas RoS menghantar surat pada 17 Julai mengarahkan parti itu melakukan pemilihan semula CEC kerana ia tidak mengakui keputusan pemilihan diadakan pada 15 Disember 2012 dan pemilihan selepas itu yang dilakukan pada 29 September 2013. – 17 November, 2017


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen