3 jenis ubat boleh guna rawat Covid-19


KKM akan menjalankan pemantauan berterusan bagi memastikan kualiti, keselamatan serta keberkesanan ubat-ubatan terjamin demi kepentingan pesakit. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Mac, 2020.

BEKALAN ubat Klorokuin, Hidroksiklorokuin dan kombinasi Lopinavir/Ritonavir sedia ada di Malaysia yang digunakan untuk merawat penyakit lain, boleh digunakan dalam rawatan Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata semakan pangkalan data produk berdaftar Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) Kementerian Kesihatan (KKM) mendapati tiga jenis ubat itu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah.

Beliau berkata bekalan ubat-ubatan yang perlu diimport seperti Favipiravir dan Remdesivir (ubat antiviral) akan sentiasa dimudah cara oleh KKM bagi kegunaan rawatan Covid-19.

“Bagi ubat kajian Remdesivir, Malaysia dipilih oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk terlibat dalam kajian klinikal ‘Multicenter Adaptive Solidarity trial - Covid-19’ yang mana ubat kajian tersebut akan digunakan.

“NPRA akan menyediakan laluan ‘expedited review’ untuk membawa masuk produk kajian klinikal ini ke Malaysia secepat mungkin manakala bagi ubat Favipiravir, KKM sedang berusaha mendapatkan ubat tersebut daripada pembekal,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau malam tadi.

Noor Hisham berkata dalam situasi pandemik Covid-19 ketika ini, sekiranya bekalan daripada pihak pemegang pendaftaran sedia ada untuk ubat-ubatan tidak mencukupi, KKM masih boleh mendapatkan bekalan alternatif daripada produk yang tidak berdaftar dengan menggunakan pengecualian peruntukan undang-undang kelulusan khas ketua pengarah Kesihatan KKM.

KKM akan menjalankan pemantauan secara berterusan melalui program pemantauan mutu produk berdaftar dan farmakovigilans bagi memastikan kualiti, keselamatan serta keberkesanan ubat-ubatan adalah terjamin demi kepentingan pesakit, katanya. – Bernama, 29 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen