Bapa Adib akan hantar representasi kepada peguam negara baharu


Mohd Kassim Abdul Hamid, bapa anggota bomba allahyarham Muhammad Adib akan kemuka representasi kepada Peguam Negara yang baharu Idrus Harun berhubung permohonan prosiding komital. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Mac, 2020.

BAPA anggota bomba allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim, akan mengemukakan representasi kepada Peguam Negara yang baharu Idrus Harun bagi mendapatkan pendirian Jabatan Peguam Negara (AGC), berhubung permohonan prosiding komital yang difailkannya, terhadap bekas peguam negara Tommy Thomas.

Peguam Aidil Khalid yang mewakili bapa Adib, Mohd Kassim Abdul Hamid berkata beliau memaklumkan perkara itu ketika pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan Darmafikri Abu Adam pada 11 Mac lepas.

Pengurusan kes itu turut dihadiri Peguam Kanan Persekutuan Mankiranjit Kaur Mehinder Singh, yang mewakili peguam negara ketika itu (Thomas) selaku responden.

“Mahkamah dimaklumkan dengan perkembangan semasa (pertukaran peguam negara), maka pihak perayu (Kassim) akan menulis surat representasi kepadanya (Idrus), bagi mendapatkan pendirian jabatan itu, sama ada masih berdiri teguh di belakang tingkah laku Thomas sebelum ini (khususnya berkaitan kenyataan media yang menjadi subjek perkara prosiding hina mahkamah), ataupun AGC  ingin menjarakkan dirinya dengan tindakan Thomas tersebut,” katanya.

Ditanya sama ada pihaknya telah menghantar surat representasi tersebut Aidil berkata, beliau masih belum berbuat demikian berikutan tidak dapat hadir ke pejabat, susulan Perintah Kawalan Pergerakan yang bermula 18 Mac lepas.

Aidil berkata pada masa sama, beliau turut memaklumkan kepada mahkamah beliau akan mendapatkan arahan daripada anak guamnya, sama ada hendak meneruskan rayuan atau menarik balik rayuan, dengan mengambil kira perkembangan semasa berkaitan pertukaran peguam negara.

Katanya, Mahkamah Rayuan menetapkan 5 Mei untuk pengurusan kes, seterusnya bagi membolehkan pihak-pihak memaklumkan perkembangan kes itu.

Pengurusan kes itu susulan rayuan yang difailkan Kassim pada 11 Februari lepas, terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 28 Januari lalu, yang membenarkan rayuan Thomas untuk mengetepikan prosiding komital, yang difailkan terhadapnya oleh Kassim.

Hakim Meor Hashimi Abdul Hamid dalam keputusannya berkata, Mahkamah Koroner terkhilaf ketika membuat keputusan yang membenarkan prosiding komital dimulakan terhadap Thomas.

Kassim memfailkan permohonan, untuk memulakan prosiding  komital terhadap Thomas pada 16 Julai tahun lepas di Mahkamah Koroner Shah Alam, atas dakwaan menghina mahkamah berkaitan prosiding inkues bagi mencari punca kematian anaknya.

Dalam permohonan itu, Kassim, 66, mendakwa Thomas membuat penghinaan terhadap mahkamah menerusi afidavit yang difailkan Jabatan Peguam Negara pada 3 April tahun lepas, berhubung punca kematian anaknya.

Adib, 24, yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember, 2018, di Institut Jantung Negara ekoran kecederaan parah dialaminya dalam rusuhan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun sama.

Pada 27 September, 2019, Mahkamah Koroner memutuskan kematian Adib disebabkan perbuatan jenayah yang dilakukan lebih dua atau tiga individu yang tidak diketahui. – Bernama, 27 Mac, 2020


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen