Hak rakyat dinafikan, sayakenahack selar SKMM, Lowyat.net


PENULIS blog teknikal yang mencipta laman sesawang sayakenahack.com yang membantu mangsa godaman data peribadi yang digodam secara besar-besaran akan menutup pangkalan data tersebut menjelang tengah malam Ahad.

Mereka yang mahu memeriksa sama ada mereka terjejas dengan kecurian data itu mempunyai masa tiga hari untuk berbuat demikian, kata Keith Rozario dalam blog peribadinya.

“Anda ada hak untuk tahu,” katanya.

Laman sayakenahack.com disekat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) kerana didakwa mendedahkan maklumat peribadi individu tanpa kebenaran menerusi apa sahaja platform, satu kesalahan menurut Akta Perlindungan Data Peribadi.

Bagaimanapun ia masih boleh dicapai menggunakan konfigurasi berbeza DNS dan VPN yang mampu mengatasi sekatan.

Tetapi Rozario dalam catatan blognya itu mengatakan SKMM sendiri tidak berbuat apa-apa bagi meredakan kebimbangan awam mengenai penggodaman itu malah tidak memaklumkan tindakan sepatutnya dilakukan orang awam sekiranya data peribadi mereka dicuri.

“Pihak berkuasa tidak boleh melihat data berminggu lamanya tanpa memberitahu anda apa yang berlaku.  Pihak berkuasa yang sepatutnya memberitahu anda mengenai pengodaman ini adalah SKMM. Tetapi sehingga hari ini mereka tidak melakukan apa-apa untuk mencipta perkhidmatan (hebahan kecurian data) itu, malah tidak juga menghebahkan rancangan untuk melaksanakan perkhidmatan tersebut.

“Tiada bukti yang mencadangkan mereka mempunyai (atau sudah melakukan) hasrat untuk berbuat sesuatu,” katanya.

Rozario menyelar agensi pengawal internet negara itu serta forum dalam talian Lowyat.net yang mula-mula mendedahkan penggodaman data itu kerana tidak menghormati kepentingan awam dan hak rakyat untuk mengetahui isu kecurian data peribadi.

“Jika saya boleh buat sayakenahack dalam masa 4 minggu (pada masa lapang ketika bekerja dari jam 9 hingga 5, seorang ayah dan suami) tiada alasan logik mengapa SKMM atau syarikat telekomunikasi tidak boleh bertindak lebih baik dalam masa yang lebih singkat,” katanya.

Katanya “elitisme” yang ditunjukkan Lowyat.net dengan mematuhi arahan SKMM untuk menarik balik rencana yang mendedahkan kecurian data itu menggambarkan rakyat Malaysia yang tidak mempunyai kemahiran teknikal tidak berhak tahu sekiranya mereka menjadi mangsa kecurian data.

“Data itu mudah didapati secara percuma untuk sesiapa sahaja muat turun. Mereka yang ada kemahiran untuk jumpa selalunya digelar sebagai ‘geek’ atau penggodam.

“Untuk menyekat sayakenahack bermakna mengatakan ‘geek’ atau penggodam boleh mengakses data tersebut- tetapi orang biasa tak boleh. Ia juga menggambarkan yang orang biasa tidak berhak mempunyai pengetahuan (kecurian data) tetapi ‘geek’ dan penggodam boleh.

“Itu adalah elitisme, dan ia salah,” katanya.

Rozario juga mengatakan yang Lowyat.net mengetahui kepentingan memaklumkan orang awam tentang penggodaman data dan alasan mengapa sayakenahack.com iaitu “tidak betul memanipulasikan data curi” adalah salah.

Katanya dia sudah “melindungi” data yang diletakkan dalam sayakenahack.com dan tidak memanipulasinya.

“ ‘Melindungi’ adalah dengan sengaja membuang data itu, bagi melindungi kerahsiaannya. Saya berusaha bagi memastikan data mencukupi tinggal supaya pengguna masih boleh mengenalpasti nombor mereka, tetapi tidak cukup untuk orang lain teka.”

Katanya, sayakenahack.com adalah laman selamat bagi menghalang kecurian data yang digodam dan ia memberi manfaat kepada orang awam “berbanding risiko laman itu digodam”.

Rozario mengatakan dia masih percaya tindakannya betul demi kepentingan awam walaupun ia tidak “dibenarkan secara undang-undang”. Dia mengakui yang dia bimbang ditahan sekiranya dia datang ke Malaysia.

Katanya dia tidak akan memberi maklum balas kepada permintaan wartawan yang menghubunginya, menambah yang dia sudah membatalkan semua wawancara buat masa sekarang dan berhenti memuat naik data yang dicuri buat masa sekarang. – 17 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen