Putrajaya perlu elak rusuhan makanan, kata Pakatan


Rusuhan makanan boleh berlaku jika rantaian bekalan tidak dikekalkan terbuka dan jika kerajaan tiada idea yang jelas tentang mengekalkan pengeluaran hasil pertanian, kata Majlis Setiausaha PH. – Gambar The Malaysian Insight oleh Irwan Majid, 26 Mac, 2020.

KERAJAAN perlu memastikan rantaian bekalan makanan tidak terganggu bagi mengelakkan berlakunya rusuhan makanan, kata Pakatan Harapan.

Majlis Setiausaha PH dalam satu kenyataan berkata rakyat negara ini tidak boleh dibiarkan sampai kebuluran ketika wabak Covid-19 sedang menular.

“Rusuhan makanan adalah sesuatu yang tidak pernah dialami dalam negara kita. 

“Namun, ini boleh berlaku jika kita tidak mengekalkan rantaian bekalan terbuka dan jika kita tidak mempunyai idea yang jelas tentang mengekalkan pengeluaran hasil pertanian,” menurut kenyataan bersama tiga bekas menteri.

Mereka adalah bekas menteri perdagangan dalam negeri dan hal ehwal pengguna Saifuddin Nasution Ismail, bekas menteri pertanian dan industri asas tani Salahuddin Ayub dan bekas timbalan menteri perdagangan antarabangsa dan industri Ong Kian Ming.

Majlis Setiausaha PH juga menyeru Putrajaya mengambil langkah segera memastikan tiada gangguan dalam rantaian bekalan termasuk pengeluaran makanan; sayur-sayuran dan pertanian; pembuatan sarung tangan perubatan; dan juga lima bekalan perubatan yang penting iaitu topeng muka, kit pengujian, sanitizer, Peralatan Perlindungan Peribadi (PPE) dan ventilator.

Kenyataan itu juga menyebut terdapat laporan bahawa petani terpaksa membuang sayur-sayuran kerana lori tidak mampu dan tidak mahu bergerak untuk membawa bekalan ke luar kawasan disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Nelayan juga terpaksa membuang hasil tangkapan ke dalam laut kerana tidak dapat menghantar ikan ke pasar di bandar, kata PH.

“Bagi menjamin keselamatan makanan, kerajaan harus melaksanakan “Skim Beli Balik Dijamin” menerusi FAMA dan LKIM semasa tempoh PKP.

“Skim ini adalah untuk memastikan bahawa pasaran masih berfungsi agar petani dapat terus menanam untuk musim depan, dan agar nelayan dapat terus pergi ke laut.

“Jika mereka mengalami kerugian sekarang, mereka akan mengurangkan penanaman pada musim depan dan keselamatan makanan Malaysia akan terjejas apabila pasaran kembali normal.”

Menurut kenyataan itu lagi, PKP menyebabkan pengeluaran sarung tangan terhad susulan kilang hanya dibenarkan bekerja pada kapasiti 50%. Pengeluar yang mempunyai kapasiti untuk membuat 200 juta sarung tangan setiap hari kini mampu menghasilkan bekalan 2 minggu dalam masa yang sama, kata PH.

Selain itu, kerajaan disarankan mengambil pendekatan “pengeluaran tempoh kecemasan” dengan membenarkan pembekal sedia ada untuk mengembangkan kapasiti pengeluaran mereka, termasuk penyumberan bahan dan pekerja, dan juga mengarahkan beberapa pengilang bukan dalam sektor kritikal untuk menukar fungsi kilang mereka bagi membantu menghasilkan bekalan perubatan penting.

“Kemenangan kita ke atas Covid-19 bukan sahaja melibatkan pembendungan wabak ini, malah memerlukan pembekalan barangan yang secukupnya buat semua rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang agar mereka dapat terus bertahan melalui tempoh PKP yang dilanjutkan ini.” – 26 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen