80 anggota kesihatan dikesan positif Covid-19


Ragananthini Vethasalam

Seramai 80 anggota kesihatan di seluruh negara dikesan positif Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Mac, 2020.

SERAMAI 80 anggota kesihatan di seluruh negara diuji positif Covid-19 tetapi jangkitan bukan disebabkan oleh pengendalian kes yang berkaitan dengan virus itu, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham.

Beliau juga memberitahu The Malaysian Insight bahawa semua 30 kemudahan kesihatan sudah dibasmi kuman. 

“Ya kemudahan sudah dibasmi kuman. Semua kakitangan diperiksa dan diuji seperti yang dikongsi jumlahnya semalam,” katanya ketika dihubungi.

Grafik yang dimuat naik di Facebook menunjukkan Hospital Teluk Intan mempunyai bilangan pesakit Covid-19 paling ramai dalam kalangan anggota kesihatannya iaitu seramai 39 orang.

Mereka semua menghadiri dua majlis perkahwinan yang turut dihadiri oleh salah seorang peserta perhimpunan Tabligh di Masjid Seri Petaling.

Jabatan kecemasan dan wad pemerhatian ditutup untuk pembersihan, pembasmian kuman dan lain-lain selepas kakitangannya disahkan dijangkiti virus berkenaan.

Jabatan kecemasan beroperasi sementara waktu dari bangunan pesakit luar sementara operasi hospital terus berjalan seperti biasa. 

Ini diikuti oleh Hospital Selangor (5), Hospital Raja Perempuan Zainab II (4), Hospital Seri Manjung dan Hospital Tunku Jaafar, Seremban dengan tiga kes. 

Sementara itu Hospital Shah Alam merekodkan dua kes. 

Semua kemudahan lain termasuk ibu pejabat Kementerian Kesihatan melaporkan sat ukes. 

Dr Noor Hisham juga mengulangi di Facebook bahawa sumber jangkitan dalam kalangan barisan hadapan bukan kerana mengendalikan kes Covid-19 di kemudahan KKM.  

Beliau juga menasihati anggota kesihatan untuk mengamalkan langkah-langkah pencegahan seperti yang telah disarankan terutamanya dalam memastikan tangan sentiasa bersih, mengamalkan jarak sosial dan pemakaian alat pelindung diri mengikut keperluan ditetapkan. – 26 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen