Permohonan UPU untuk calon SPM dilanjutkan, kata menteri


Kementerian Pengajian Tinggi memberi lanjutan permohonan UPU kepada pelajar lepasan SPM susulan pelaksanaan PKP. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Mac, 2020.

KEMENTERIAN Pengajian Tinggi melanjutkan seminggu lagi tempoh permohonan kemasukan ke universiti bagi calon lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), kata menterinya Noraini Ahmad, susulan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan sejak seminggu lalu.

Katanya, tarikh tutup baru permohonan dalam talian itu dilanjutkan dari 31 Mac kepada 7 April.

“Lanjutan ini hanya diberikan kepada pemohon lepasan SPM sahaja,” katanya dalam satu kenyataan.

Hari terakhir bagi calon membeli nombor UNIK di Bank Simpanan Nasional (BSN) pula ialah pada 6 April 2020, katanya.

“Sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan ini, saya memahami calon-calon lepasan SPM sukar untuk mendapatkan akses Internet,” jelas Noraini.

Tarikh tutup permohonan kemasukan ke universiti dan institusi pengajian tinggi bagi pemohon lepasan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia, matrikulasi dan setaraf bagaimanapun kekal pada 7 April ini, tambahnya.

Kementerian Pengajian Tinggi membuka permohonan dalam talian itu pada 10 Mac lalu, lima hari selepas keputusan SPM diumumkan. β€“ 25 Mac, 2020.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen