Najib terus sindir cara Dr Mahathir tadbir Malaysia


Ikhwan Zulkaflee

Najib, yang hari ini mengadakan lawatan ke Hospital Tung Shin dan Hospital Bersalin Cina di Jalan Pudu, Kuala Lumpur, berkata Dr Mahathir selama jadi perdana menteri tidak pernah sekali pun menjejakkan kaki ke dua buah hospital bersejarah itu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 16 November, 2017.

PERDANA Menteri Najib Razak terus menyindir Dr Mahathir Mohamad dan membandingkan cara beliau mentadbir Malaysia kini berbanding bekas perdana menteri itu.

Najib, yang hari ini mengadakan lawatan ke Hospital Tung Shin dan Hospital Bersalin Cina di Jalan Pudu, Kuala Lumpur, berkata Dr Mahathir selama jadi perdana menteri tidak pernah sekali pun menjejakkan kaki ke dua buah hospital bersejarah itu.

“Saya amat gembira dapat lawat Hospital Tung Shin yang berusia 136 tahun dan Chinese Maternity Hospital yang berumur 104 tahun.

“Saya berbesar hati menerima sambutan yang sangat hangat petang ini. Saya difahamkan saya adalah PM Malaysia pertama lawat kedua-dua hospital ini. 

“Ada orang jadi PM 22 tahun (tapi) tak pernah pun melawat hospital ini,” kata Najib, semasa berucap sempena lawatannya, hari ini.

Najib sebelum ini berkali-kali menyindir bekas mentornya itu, termasuklah ketika pembentangan Bajet 2018 bulan lepas, menempelak Dr Mahathir yang didakwa menghina masyarakat Bugis.

“Sayang seribu kali sayang, dalam kita ingin membina peradaban, santun susila antara satu sama lain, sampai hati dan tergamak sungguh ‘orang itu’ memaki, mencera keturunan Bugis,” kata Najib.

Sindir menyindir antara dua ahli politik utama negara itu sudah berlarutan lebih setahun. Antara sindiran Najib terhadap Dr Mahathir termasuklah hubungan mesra dan rapatnya dalam pakatan pembangkang dengan bekas Timbalan Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang pernah dipecatnya serta kenyataan pedas Dr Mahathir memberi lebih tumpuan kepada Proton Holdings Berhad berbanding membangunkan pengangkutan awam yang lebih baik.

Dr Mahathir pula berulang kali menggelarkan Najib sebagai perompak wang negara dalam skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan menyifatkan usaha pengangkutan awam Najib tidak lebih daripada meneruskan projek yang dimulakan di zaman pentadbirannya.

Terdahulu, Najib mengumumkan pemberian dana berjumlah RM3 juta kepada Hospital Tung Shin dan Chinese Maternity Hospital bagi membangunkan pusat kardio yang akan disalurkan dalam masa terdekat.

“Maka, saya atas nama kerajaan persekutuan bersetuju beri sumbangan RM3 juta kepada Hospital Tung Shin.

“Dan dana ini akan kita keluarkan dalam sedikit masa lagi. Saya tak mahu hutang,” kata Najib lagi, disambut tepukan gemuruh dari hadirin.

Kos pembinaan pusat kardio berkenaan berjumlah RM10 juta dimana sejumlah RM7 juta telah dikumpul oleh hospital berkenaan dari hasil derma.

Najib juga akan mempertimbangkan permintaan hospital berkenaan supaya cukai pintu yang tidak dijelaskan selama 20 tahun kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dilupuskan. – 16 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen