Peguam Negara masih belum puas hati siasatan kes ketua SPRM


Muzliza Mustafa

Ketua Pesuruhjaya SPRM Dzulkifli Ahmad sedang disiasat atas kesalahan menggoda isteri orang, satu kesalahan di Malaysia di bawah Seksyen 498 Kanun Keseksaan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 November, 2017.

JABATAN Peguam Negara (AG) masih tidak berpuas hati dengan siasatan kes Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Dzulkifli Ahmad dan sudah tiga kali memulangkan fail kes untuk disiasat kembali, kata Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun hari ini.

Fuzi berkata tiga kali Bukit Aman menyerahkan hasil siasatan kepada AG, tiga kali itu jugalah fail berkenaan dipulangkan untuk siasatan lanjut.

“Kami hantar tiga kali. Kemudian kami perlu siasat balik selepas terima arahan,” katanya kepada media di sebuah majlis di Akademi Latihan Polis Cheras pagi tadi.

Fuzi mengatakan yang Dzulkifli akan dipanggil memberi keterangan mengenai perkara itu “pada bila-bila masa”, ketika menjawab soalan wartawan yang bertanyakan sama ada Dzulkifli sudah diambil keterangan oleh polis.

Lima hari lalu Fuzi memberitahu media yang fail kes itu dipulangkan kepada polis kerana terdapat banyak langkah susulan yang perlu diambil polis sebelum mereka boleh mengembalikan kertas siasatan itu.

Dzulkifli sedang disiasat polis di bawah Seksyen 498 Kanun Keseksaan kerana menggoda isteri orang.

Pada 16 Oktober, sebuah pasukan khas ditubuhkan untuk memantau dengan teliti berhubung dakwaan salah laku Dzulkifli.

“Pasukan petugas itu dibentuk memandangkan kesungguhan tuduhan itu daripada boleh menjejaskan integriti Ketua Pesuruhjaya SPRM,” kata Peguam Negara Mohamed Apandi Ali.

Dakwaan hubungan sulit itu yang terbongkar apabila seorang eksekutif jualan membuat laporan polis mengenai sebuah video yang tular di media sosial mendakwa Dzulkifli terlibat dalam kegiatan tidak bermoral yang boleh menjejaskan integritinya selaku pegawai atasan kerajaan.

Kontroversi menyelubungi Dzulkifli bertambah hangat apabila video percutiannya di Bali bersama seorang wanita yang buka isterinya tersebar sehingga ada pihak menggesa Dzulkifli bercuti sementara menunggu siasatan ke atasnya selesai.

Walaupun begitu, beberapa pihak tampil mempertahankan Dzulkifli menyifatkan skandal itu sebagai satu kempen digerakkan “ahli politik korup” untuk menjejaskan nama baik ketua pesuruhjaya SPRM yang sejak mengangkat sumpah berjaya menyiasat dan mengheret beberapa kes korupsi berprofil tinggi ke muka pengadilan.

Skandal melibatkan pegawai tertinggi agensi pencegahan rasuah negara ini juga disifatkan sebagai cubaan pembunuhan karakter dilakukan pihak tertentu kerana kesungguhan Dzulkifli untuk menghapuskan sindiket perjudian haram. – 16 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen