MMA gesa doktor junior ditawarkan jawatan tetap


Ragananthini Vethasalam

MMA gesa Putrajaya menawarkan jawatan tetap kepada doktor junior, bukan hanya tawaran kontrak dua tahun yang kemudiannya tidak akan diperbaharui. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Mac, 2020.

PERSATUAN Perubatan Malaysia (MMA) menggesa Putrajaya menawarkan jawatan tetap kepada doktor junior, bukan hanya tawaran kontrak dua tahun yang kemudiannya tidak akan diperbaharui.

Pengerusi bahagian doktor kerajaan MMA, Dr Kevin Ng Wei Shan berkata mereka sudah bertemu Menteri Kesihatan Dr Adham Baba dan timbalannya Dr Noor Azmi pada 17 Mac untuk berkongsi cadangan berkenaan cara menyelesaikan isu berkaitan nasib pegawai perubatan (MO) kontrak.

“Kami akan terus berhubung dengan kerajaan baharu untuk memberi keadilan kepada doktor junior dengan menaikkan mereka kepada Gred U43 dan menawarkan jawatan pegawai perubatan secara tetap dengan menambah jumlah jawatan tetap dalam kementerian,” katanya kepada The Malaysian Insight.

“Kami juga mempertimbangkan melanjutkan kontrak untuk memberi doktor junior peluang untuk berkembang dalam karier mereka untuk pakar dalam sesuatu bidang, sementara menunggu kenaikan pangkat yang mengambil masa beberapa tahun.”

Pada 16 Mac, sekumpulan MO dari kumpulan 15 Mei, 2017 menerima surat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia memaklumkan tentang pembaharuan terakhir kontrak mereka untuk dua tahun lagi.

Mereka diberitahu kontrak berkenaan yang berkuatkuasa dari 15 Mei, 2020 hingga 14 Mei, 2022 tidak akan dilanjutkan lagi selepas itu.

Ini menyukarkan kumpulan MO berkenaan, menyebabkan MMA menggesa kerajaan memperbaiki keadaan itu.

Menurut anggaran MMA, hanya 13% hingga 15% daripada 4,500 doktor junior diambil pada 2017, dan termasuk dalam kumpulan pertama yang ditawarkan jawatan tetap di hospital kerajaan.

Bagi kumpulan doktor yang dilantik pada Mei 2017 dan Julai 2017, mereka hanya ditawarkan jawatan secara kontrak.

“Pada masa ini, keadaan menyebabkan moral rendah bagi doktor junior, apatah lagi mereka dipanggil bertugas di barisan hadapan dalam kita memerangi pandemik Covid-19,” katanya.

Ng berkata tindakan kerajaan itu akan menyebabkan generasi doktor yang kebanyakannya berbakat, bakal hilang. – 24 Mac, 2020.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen