Peserta tabligh tanpa gejala juga akan diperiksa, kata KP Kesihatan 


Ragananthini Vethasalam

Peserta perhimpunan tabligh di Masjid Sri Petaling, Kuala Lumpur digesa tampil untuk menjalani pemeriksaan Covid-19.– Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Mac, 2020.

PESERTA yang hadir pada perhimpunan tabligh di Masjid Sri Petaling dan tidak mengalami sebarang gejala juga akan diperiksa untuk Covid-19, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah hari ini.

“Kita akan jalankan ujian ke atas semua yang hadir pada perhimpunan berkenaan termasuk yang tiada sebarag gejala,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, garis panduan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menetapkan saringan hanya dijalankan ke atas mereka yang mempunyai gejala wabak berkenaan.

“Sekiranya tiada gejala, kita akan periksa mereka dan tidak akan jalankan ujian. Bagaimanapun hari ini kita memutuskan untuk membuat saringa ke atas mereka walaupun tiada sebarang gejala,” tambahnya.

Daripada 212 kes terbaharu yang dilaporkan hari ini, 123 daripada berkaitan dengan kluster tabligh.

Menurut Kementerian Kesihatan, sebanyak 14,500 rakyat Malaysia dan 1,500 warga asing hadir pada perhimpunan berkenaan.

Dr Noor Hisham juga berkata, kementerian turut mengesan mereka yang tiada kaitan langsung dengan kluster tabligh termasuk mereka yang hadir pada majlis perkahwinan, surau atau masjid lain.

Ditanya sama ada kluster baharu boleh berlaku, beliau berkata ia tidak daat dipastikan, namun terdapat “kaitan baharu” melibatkan mereka yang pergi ke tempat yang pernah dihadiri peserta tabligh berkenaan.

“Terdapat perkaitan tidak langsung dan ia sukar dikesan kerana kita tidak tahu siapa yang hadir pada majlis perkahwinan yang sama, atau ke masjid atau surau yang sama seperti mereka yang hadir pada perhimpunan tabligh.”

Beliau berkata, 62% daripada jangkitan, atau 940 daripada 1,518 jumlah keseluruhan kes positif adalah daripada kluster tabligh.

Dr Noor Hisham turut menggesa mereka yang hadir pada perhimpunan tabligh tampil untuk menjalankan pemeriksaan.

Katanya mereka yang didapati negatif akan dikuarantin manakala bagi yang positif akan dirawat di hospital. – 23 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen