Saya tak pernah cabar sesiapa untuk kedudukan politik, kata Najib


Gan Pei Ling

Perdana Menteri Najib Razak berkata beliau hanya menawarkan diri apabila ada kekosongan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 16 November, 2017.

PERDANA Menteri Najib Razak berkata beliau hanya menunggu peluang dan tidak pernah mencabar sesiapa pun untuk mendapatkan kedudukan di sepanjang karier politiknya.

“Saya hanya menapak dari satu tangga ke satu tangga, saya tidak pernah mencabar sesiapa dalam karier politik di sepanjang hidup saya.

“Saya akan tawarkan diri bila ada kekosongan.

“Alhamdulillah, resipi itu berjaya, dan sekarang saya menjadi pemimpin Malaysia yang tekanannya sangat, sangat tinggi.

“Saya jamin, kalau anda berpeluang menjadi perdana menteri, anda akan tahu. Anda akan sedar tentang  ini dan anda harus belajar untuk menguruskannya,” kata Najib pada  Pameran Tahunan Perusahaan Kecil dan Sederhana 2017 (Smidex 2017) di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) hari ini.

Najib berkata dia bersenam, menonton televisyen dan perlawanan bola sepak, serta membaca untuk menghilangkan tekanan.

“Ada banyak cara untuk uruskan tekanan. Dalam kes saya, buat perkara yang anda seronok buat, tapi buat perkara yang betul.

“Contohnya, saya dapati bersenam ini penting, dan ia mestilah dalam senaman fizikal yang betul. Ia mesti menyihatkan badan.

“Golf ialah rekreasi, tapi tak menyihatkan badan. Pemain golf tak sihat. Mereka ingat mereka sihat, tapi tidak.

“Anak perempuan saya beritahu, golf lebih baik sikit daripada tak buat apa-apa langsung,’ kata Najib sambil berseloroh.

Anak kepada perdana menteri kedua Malaysia Abdul Razak Hussein itu juga ingat ketika beliau menjadi ahli Parlimen pada usia 22 tahun, timbalan menteri pada usia 25 tahun dan menteri besar ketika berusia 29 tahun.

“Saya tak galakkan anda ikuti perjalanan ini, kerana banyak perkara di dalam hidup yang perlu dilepaskan.

“Pada usia muda, saya telah lalui macam-macam. Sama ada nak hadapi atau menyerah kalah.

“Saya beritahu diri saya, saya perlu hadapinya. Saya tak mahu menyerah kalah.” – 16 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen