4 kawasan di Kuala Lumpur diwarta 'zon merah' koronavirus 


Jalan raya lengang di Kuala Lumpur. Sebanyak empat kawasan diwartakan sebagai zon merah koronavirus berikutan jumlah kes jangkitan wabak berkenaan yang tinggi.– Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 22 Mac, 2020.

EMPAT kawasan di Kuala Lumpur diwartakan sebagai “zon merah koronavirus” oleh kerajaan berikutan jumlah kes jangkitan Covid-19 yang tinggi.

Kawasan terlibat adalah Parlimen Lembah Pantai, Titiwangsa, Kepong dan Cheras, kata Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa.

Operasi polis, tentera dan penguatkuasa tempatan akan dipergiatkan di kawasan ini bagi memastikan penduduknya mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Annuar berkata, sebanyak 1,413 anggota tentera, 1,500 anggota polis dan 1,500 penguatkuasa tempatan ditugaskan ke Wilayah Persekutuan untuk penguatkuasaan PKP.

“Tambahan tenaga kerja daripada Angkatan Tentera akan membolehkan kita meningkatkan jumlah sekatan jalan raya di sekitar bandar raya daripada 40 ke 58 sekatan,” kata Annuar dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.

Anggota pasukan keselamatan juga akan melakukan rondaan di Brickfields, Chow Kit dan Selayang kerana beliau menerima laporan penduduk dan premis perniagaan masih gagal mengamalkan penjarakan sosial.

Lembah Pantai muncul sebagai daerah kedua tertinggi jumlah jangkitan Covid-19 iaitu 90 kes di belakang Petaling Jaya yang mencatatkan 96 kes.

Hulu Langat (75), Johor Baru (52), Seremban (42), dan Titiwangsa (41) merupakan antara daerah yang mencatat kes tertinggi.

Setakat hari ini, Malaysia mengesahkan 1,306 kes Covid-19 dan jumlah kematian 10 orang. 46 pesakit kini dirawat di unit rawatan rapi (ICU). – 22 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen