Satu dari setiap 10 kes jemaah tabligh positif Covid-19


Ragananthini Vethasalam

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah menyeru anggota jemaah tersebut tampil memberi kerjasama bagi saringan.– Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Mac, 2020.

SEORANG dari setiap 10 anggota jemaah tabligh yang disaring setakat ini didapati positif Covid-19, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Hisham Abdullah.

Ia berdasarkan jumlah 743 kes positif daripada 6,700 sampel dari anggota jemaah tabligh yang berjaya disaring setakat ini, katanya dalam sidang media hari ini.

“Kita berjaya kesan 11,000 daripada mereka. Daripada 11,000 kita buat persampelan hampir 6,700.

“Ini menjadikan satu dari setiap 10 yang disaring didapati positif,” katanya.

Oleh itu beliau menyeru baki anggota jemaah tersebut tampil memberi kerjasama bagi saringan.

“Kita perlu cari mereka, kita perlu uji mereka, asingkan mereka dan rawat mereka,” katanya.

Beliau turut mengumumkan kematian seorang lagi anggota jemaah tabligh itu hari ini, korban keenam daripada kluster tersebut.

Ia tidak termasuk empat lagi kematian yang menjadikan jumlah korban 10 orang di Malaysia setakat hari ini.

Empat individu itu merupakan seorang pastor, seorang ibu dan seorang anak, dan juga seorang doktor kementerian kesihatan.

Setakat pukul 12 tengah hari, sebanyak 123 kes baharu dicatatkan, menjadikan kes keseluruhan meningkat kepada 1,306.

Dr Noor Hisham berkata mereka mahu mengesan kesemua 14,500 anggota jemaah tabligh yang hadir dalam perhimpunan tersebut.

Kluster anggota tabligh itu membawa kepada penularan gelombang kedua apabila kes yang mula dikesan di Brunei dikaitkan dengan perhimpunan berkenaan.

Perintah Kawalan Pergerakan kini berkuatkuasa sehingga 31 Mac untuk memastikan rakyat kekal di rumah bagi memutuskan rantaian jangkitan.

Rakyat juga diminta mengambil langkah menjaga kebersihan dengan mencuci tangan dengan kerap dan menjaga jarak antara individu. – 22 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen