Kementerian tolak saranan Adham Baba guna air suam rawat Covid-19


Menteri Kesihatan Adham Baba sebelum ini menyarankan rakyat untuk menggunakan air suam untuk menyingkirkan virus penyebab Covid-19 ke dalam perut. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Mac, 2020.

KEMENTERIAN Kesihatan menolak saranan menterinya Adham Baba kepada rakyat supaya menggunakan air suam untuk menyingkirkan virus penyebab Covid-19 ke dalam perut.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata kementerian hanya menggunakan kaedah berasaskan bukti sains untuk pengurusan dan rawatan pesakit.

“Perubatan berasaskan Sains salah satu tonggak utama untuk mendukung amalan (perubatan) sebelum kita menangani isu berkaitan apa-apa amalan.

“Jadi secara amnya perubatan berasaskan bukti penting, keputusan untuk merawat pesakit dan menguruskan pesakit juga berasaskan sains dan data,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai saranan Adham, yang percaya virus penyebab Covid-19 boleh disingkir ke perut dengan meminum air suam.

Saranan berbahaya itu disebut Adham yang merupakan menteri Umno dalam kerajaan Perikatan Nasional, semasa muncul di satu program bual bicara disiarkan stesen TV kerajaan.

Kenyataan berkenaan menerima kecaman pelbagai pihak.

Malaysia mencatat kematian keempat hari ini dan peningkatan 153 kes baharu menjadi jumlah 1,183 kes positif Covid-19.

Pertintah Kawalan Pergerakan kini berkuatkuasa sehingga 31 Mac supaya rakyat kekal berada di rumah bagi memutuskan rantaian jangkitan.

Pasukan tentera mula digerakkan selepas tengah malam untuk membantu polis menguatkuasa perintah itu. – 21 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Adham Baba harus dipecat daripada daftar pengamal perubatan Majlis Perubatan Malaysia kerana tidak layak sebagai seorang doktor. Ini bukan soal lawak-lawak, tetapi soal hidup atau mati. Bagaimana beliau telah layak jadi doktor?

    Dimuat naik 4 tahun yang lalu oleh Ravinder Singh · Ulasan