24 petugas kesihatan positif Covid-19


Ragananthini Vethasalam

Setakat 14 Mac, sejumlah 337 staf Kementerian Kesihatan menjalani ujian saringan Covid-19 dengan 251 daripadanya disahkan negatif. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Mac, 2020.

 
SERAMAI 24 petugas kesihatan diuji positif Covid-19 setakat ini dengan 19 daripadanya merupakan staf sektor kesihatan awam, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Katanya kesemua 19 kes itu melibatkan staf kesihatan di bawah Kementerian Kesihatan yang dikaitkan dengan kluster tabligh manakala lima lagi kes merupakan petugas daripada fasiliti kesihatan swasta.

“Punca jangkitan semua 19 staf kementerian bukan disebabkan kecuaian ketika mengendalikan kes di kemudahan masing,” katanya pada sidang media petang ini.

“Siasatan mendapati kesemua mereka (staf kesihatan awam) merupakan kontak rapat dengan generasi pertama dan kedua kluster tabligh,” katanya.

Dua staf kesihatan kementerian itu kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Setakat 14 Mac, sejumlah 337 staf Kementerian Kesihatan menjalani ujian saringan Covid-19 dengan 251 daripadanya disahkan negatif.

86 kes lagi masih menunggu keputusan ujian.

Dr Noor Hisham berkata petugas kesihatan tidak dijangkiti virus itu ketika merawat pesakit Covid-19 kerana mereka memakai kelengkapan pelindung.

“Jika kita teliti senarai pegawai atau petugas kementerian yang dijangkit, mereka tidak merawat pesakit Covid-19

“Mereka memakai pakaian kawalan penyakit dan melindungi diri mereka sebelum memasuki wad. Malah tiada seorang pun staf kementerian (yang dijangkiti) bekerja di wad Covid-19.

“Mereka yang dijangkiti ini mendapat virus itu ketika di luar tugas dan menyebarkannya dalam kalangan rakan sekerja apabila kembali ke hospital,” katanya. – 21 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen