Bank Afrika Selatan beri amaran sindiket penipuan Covid-19


Sehingga sekarang, Afrika Selatan merekodkan 62 kes positif Covid-19, kedua tertinggi di benua Afrika selepas Mesir.– Gambar AFP, 19 Mac, 2020.

BANK Pusat Afrika Selatan memberi amaran tentang sindiket penipuan yang melawat rumah penduduk negara itu untuk “mengambil semula” wang kertas dan duit siling yang dakwa mereka dicemari Covid-19.

Penjenayah membawa lencana pengenalan palsu dan memberikan resit palsu kepada mangsa, sebelum memberitahu mereka yang mangsa boleh menukar resit itu dengan “duit bersih” di bank.

Bank dalam kenyataan dikeluarkan pada Isnin berkata ia “tidak pernah menarik semula mana-mana wang kertas atau siling mahupun mengeluarkan arahan untuk menyerahkan wang kertas atau siling yang mungkin tercemar.”

“Buat masa sekarang tidak ada bukti yang virus Covid-19 boleh dipindahkan melalui penggunaan wang kertas dan siling,” kata kenyataan itu.

Sehingga sekarang, Afrika Selatan merekodkan 62 kes positif Covid-19, kedua tertinggi di benua Afrika selepas Mesir.

Covid-19 sudah menjangkiti lebih 180,000 orang di seluruh dunia dan membunuh lebih 7,000.

Presiden Cyril Ramaphosa mengumumkan penutupan sekolah dan mengharamkan perhimpunan awam selepas kes meningkat tiga kali ganda pada hujung minggu sahaja.

Warga asing negara terjejas teruk dengan wabak itu juga tidak dibenarkan masuk bermula Rabu, kerana kebanyakan kes jangkitan di Afrika Selatan berkaitan dengan perjalanan luar negara.

Penipu mengambil kesempatan dengan situasi cemas pada Isnin, apabila ramai penduduk negara itu hanya tinggal di rumah dan bergegas ke pasar raya untuk membeli barangan keperluan.

Penyedia kesihatan terbesar Afrika Selatan, Netcare, turut memberi amaran bahawa terdapat penjenayah yang menyamar sebagai kakitangannya melakukan ujian Covid-19 dari rumah ke rumah.

“Penjenayah pergi ke rumah di pelbagai kawasan mendakwa dari Netcare…untuk melakukan saringan rumah ke rumah Covid-19,” kata kenyataan syarikat itu.

“Sila ambil perhatian bahawa kakitangan kami tidak melakukan saringan Covid-19 dari rumah ke rumah.” – AFP, 19 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen