25 cedera termasuk 7 wartawan bom meletup di Yala


Kenderaan yang musnah dalam kejadian letupan bom semasa mesyuarat rasmi mengenai penularan Covid-19 di Pusat Pentadbiran Wilayah Sempadan Selatan di Yala, Thailand, yang mengakibatkan 25 orang cedera. – Gambar EPA, 18 Mac, 2020.

DUA butir bom meletup di hadapan sebuah pejabat kerajaan dalam Wilayah Yala di selatan Thailand menyebabkan 25 orang cedera termasuk tujuh wartawan, kata seorang pegawai keselamatan semalam.

Jurucakap Divisyen ke-4 Tentera Kolonel Pramote Prom-in berkata letupan di hadapan Pusat Pentadbiran Wilayah Sempadan Selatan (SBPAC) berlaku ketika para pegawai tinggi dan pegawai kesihatan sedang bermesyuarat bagi membincangkan penularan wabak Covid-19.

Beliau berkata bom buatan sendiri yang pertama meletup pada kira-kira 10.30 pagi (waktu tempatan) di luar pejabat SBPAC, dipercayai bertujuan menarik orang ramai keluar.

“Kira-kira 10 minit kemudian, sebutir lagi bom buatan sendiri yang diletakkan di sebuah trak pikap, kira-kira 100 meter dari bilik mesyuarat itu, meletup.

“Dua puluh lima orang cedera, termasuk tujuh wartawan tempatan, beberapa orang yang lalu-lalang, anggota polis dan tentera. Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa,” katanya kepada pemberita di Yala pada Selasa.

Letupan kedua itu merosakkan sesetengah bahagian bangunan itu dan beberapa kereta yang diparkir di kawasan berhampiran.

Polis belum menolak sebarang motif di sebalik pengeboman itu. Bagaimanapun, setakat ini tiada pihak mengaku bertanggungjawab melakukan pengeboman itu.

Sementara itu, Perdana Menteri Jeneral Prayuth Chan o-cha yang juga menteri pertahanan Thailand mengarahkan pasukan keselamatan untuk memburu pelaku insiden pengeboman tersebut untuk mengheret mereka ke muka pengadilan.

Beliau turut mengarahkan agensi berkaitan untuk menghulurkan bantuan kepada mangsa yang cedera dalam insiden itu.

Sementara itu, jurucakap pertahanan Leftenan Jeneral Kongcheep Tantravanich berkata Kementerian Pertahanan mengutuk serangan hari ini. 

“Ia adalah perbuatan yang kejam dan tidak berperikemanusiaan. Ia juga mencabul hak asasi manusia dan menjadi halangan kepada proses damai yang sedang berlangsung di selatan Thailand,” menurutnya dalam satu kenyataan. – Bernama, 18 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen