Adakah kawalan pergerakan mampu tangani Covid-19?


Ragananthini Vethasalam

Penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan di seluruh negara bermula esok dilihat sebagai usaha terakhir untuk mengawal penularan Covid-19. – Gambar AFP, 17 Mac, 2020.

PENGUATKUASAAN perintah kawalan pergerakan bermula esok dilihat sebagai usaha terakhir untuk mengawal penularan Covid-19.

Malaysia kini memasuki fasa penting bagi pandemik ini – mitigasi – dan ini adalah peringkat paling teruk.

Keputusan untuk mengenakan perintah kawalan pergerakan diambil selepas jangkitan Covid-19 di Malaysia melonjak ke 553 kes semalam, susulan dua hari berturut-turut yang mencatatkan kenaikan kes yang besar.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin semalam mengumumkan perintah itu dari 18 hingga 31 Mac untuk membendung penularan koronavirus.

Larangan dikenakan bagi semua pergerakan beramai-ramai dan perhimpunan, termasuk keagamaan, sukan, sosial dan aktiviti kebudayaan.

Semua rumah ibadat dan premis perniagaan akan ditutup, kecuali pasar raya, pasar awam, kedai runcit dan kedai serbaneka menjual barangan keperluan harian.

Di bawah ini penjelasan tentang perintah kawalan pergerakan dan bagaimana ia dilaksanakan di tempat lain.

Perintah

Ia dinamakan perintah sekatan kawalan dan dikenakan mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967. Ia berkuatkuasa dari mulai 18 Mac, iaitu esok hingga 31 Mac, 2020, di seluruh negara.

Apa maksudnya untuk rakyat Malaysia?

Ia larangan menyeluruh pergerakan dan perhimpunan ramai di seluruh negara termasuk aktiviti keagamaan, sukan, sosial dan budaya.

Ini bermakna semua rumah ibadat dan premis perniagaan hendaklah ditutup, kecuali pasaraya, pasar awam, kedai runcit dan kedai serbaneka yang menjual barangan keperluan harian.

Keputusan untuk mengenakan perintah kawalan pergerakan diambil selepas jangkitan Covid-19 di Malaysia melonjak ke 553 kes semalam. – Gambar EPA, 17 Mac, 2020.

Menurut Jabatan Perdana Menteri, restoran hanya boleh dibuka untuk memenuhi permintaan penghantaran makanan sahaja.

Pengecualian diberikan kepada pasar, kedai, kedai runcit, hospital, klinik dan farmasi.

Sekatan menyeluruh semua perjalanan rakyat Malaysia ke luar negara dikenakan dan bagi yang baru pulang dari luar negara, mereka dikehendaki menjalani pemeriksaan kesihatan dan melakukan kuarantin secara sukarela (atau self quarantine) selama 14 hari.

Sekatan kemasukan dikenakan pada semua pelancong dan pelawat asing ke dalam negara.

Sekolah ditutup

Semua pusat pendidikan daripada taska, sekolah kerajaan dan swasta termasuk sekolah harian, sekolah berasrama penuh, sekolah antarabangsa, pusat tahfiz akan ditutup dalam tempoh ini.

Semua institusi pendidikan rendah, menengah dan pra-universiti, institusi pendidikan tinggi (IPT) awam dan swasta juga ditutup.

Perkhidmatan penting masih ada

Perkhidmatan penting negara (atau essential services) iaitu air, elektrik, tenaga, telekomunikasi, pos, pengangkutan, pengairan, minyak, gas, bahan api, pelincir, penyiaran, kewangan, perbankan, kesihatan, farmasi, bomba, penjara, pelabuhan, lapangan terbang, keselamatan, pertahanan, pembersihan, peruncitan dan bekalan makanan akan dibuka seperti biasa.

Contoh Wuhan

Negara lain yang terjejas sudah mengambil langkah tegas susulan pandemik Covid-19, termasuk dengan menutup sempadan dan menyekat pergerakan untuk membanteras virus itu.

Wuhan di China, di mana menjadi pusat permulaan wabak itu, adalah bandar pertama yang ditutup.

Pada 23 Januari, kerajaan China menutup Wuhan dan bandar berjiran dengannya di Hubei, menyekat rakyatnya bergerak bebas.

Kuarantin ketat dan larangan perjalanan dikenakan di seluruh China.

Bandar tertentu di seluruh dunia juga mengisytiharkan darurat dan pengurungan.

Bagaimana dengan negara lain?

Itali yang menyaksikan lebih 2,000 kematian akibat Covid-19, ditutup di seluruh negara kerana ia menjadi lokasi paling teruk terjejas di luar China. Pengurungan pada mulanya tertumpu pada utara negara itu, tetapi ia kemudian dilanjutkan ke seluruh Itali.

Sepanyol, Perancis dan Denmark juga menguatkuasakan pengurungan, menyekat pergerakan kira-kira 200 juta orang di Eropah.

Sepanyol, antara terjejas teruk selepas Itali, melarang rakyatnya keluar rumah kecuali untuk membeli barangan penting dan ubat, atau untuk kerja.

Di Perancis, kafe, restoran, panggung wayang dan kebanyakan kedai ditutup.

Di Amerika Syarikat, Datuk Bandar New York Bill de Blasio mengarahkan restoran, bar dan kafe hanya menjual makanan untuk dibawa balik atau untuk penghantaran saja dan mengarahkan kelab malam, panggung wayang, teater dan tempat konsert ditutup.

Di Los Angeles, perintah eksekutif dikeluarkan oleh Datuk Bandar Eric Garcetti untuk penutupan bar, kelab malam, pusat hiburan dan gimnasium hingga 31 Mac.

Di Asia, polis Filipina dan tentera mula menutup Manila. Penduduk hanya boleh keluar rumah untuk bekerja atau ada hal penting seperti kecemasan perubatan. – 17 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen