Wanita nafi kahwini Najib, buat laporan polis


Alfian Z.M. Tahir

Seorang pemilik akaun Facebook itu mendakwa Najib berkahwin dengan wanita berusia 50 tahun itu di rumah adik lelakinya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Mac, 2020.

POLIS menyiasat satu hantaran Facebook yang mendakwa seorang wanita berusia 50 tahun menjadi isteri kedua bekas perdana menteri Najib Razak.

Siasatan itu dibuat selepas wanita terbabit membuat laporan polis semalam selepas isu itu tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Rajab Ahad Ismail mengesahkan pihaknya menerima laporan polis itu semalam dan perkara tersebut turut diserahkan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk tindakan lanjut.

“Ya, kami menerima laporan dan siasatan sedang dijalankan. SKMM juga sudah dimaklumkan tentang perkara ini,” kata Rajab kepada The Malaysian Insight hari ini.

Dalam laporan polis itu, wanita yang dikenali sebagai Noorhaiza Abdullah menafikan beliau mengahwini Najib.

Noorhaiza mendakwa seorang pemilik akaun Facebook bernama Hamizura Osman memuatnaik gambarnya dengan Najib beserta kapsyen ‘Tahniah Bossku, cantik isteri muda.”

Pemilik akaun itu turut mendakwa Najib dan wanita itu melangsungkan perkahwinan di salah sebuah rumah adik lelaki bekas perdana menteri itu serta mendapat restu Rosmah Mansor.

“Mesti Rosie (Rosmah) bagi kebenaran, kalau tak, tidak mungkin perkahwinan ini berlaku,” tambah kapsyen itu.

Dalam laporan itu, Noorhaiza berkata beliau membuat laporan polis atas faktor keselamatan diri dan menafikan tuduhan palsu itu. – 15 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen