Siapa yang liberal?


DR Mahathir Mohamad tidak berbohong saat mengatakan Anwar Ibrahim mengikut faham liberal dalam politik, kerana memang itu pendekatan Anwar semenjak lamanya, berpencak pada landasan demokrasi , kesaksamaan dan kebebasan, berbeza dengan politik wang, perkauman atau politik naungan (patronage).

Namun kesimpulan Dr Mahathir bahawa politik liberal yang dipegang oleh Anwar merupakan punca orang Melayu tidak menyokong beliau adalah tidak tepat. Politik liberal yang berteraskan demokrasi ini telah diterima oleh orang Melayu semenjak Merdeka lagi.

Buktinya, idea demokrasi dalam tatacara politik liberal merupakan tunjang kepada sistem pentadbiran negara kita yang dipayungi oleh Raja berperlembagaan.

Umno yang didukung orang Melayu selama 60 tahun, telah mentadbir negara mengikut lunas demokrasi liberal ini, meski diakui wujud kelompongan di sana sini. Jika demikian halnya, mengapa demokrasi yang sama dikatakan tidak disetujui oleh orang Melayu?

Anwar dan kemajmukan

Bezanya, demokrasi yang dijunjung oleh sebahagian besar pentadbiran BN yang lalu adalah dalam acuan perkauman, sementara Anwar ingin mengetengahkan konsep demokrasi dalam acuan kemajmukan bangsa (multiracialism).

Ini yang barangkali sedikit asing buat sebahagian orang Melayu khususnya di luar bandar, namun dapat difahami kerana mereka telah sekian lama terpasung dalam kepompong politik perkauman dek kerana disuap oleh pemerintah.

Hakikatnya, demokrasi liberal ala Anwar ini lebih hampir kepada asas pembinaan negara Malaysia yang majmuk sebagaimana yang digariskan oleh Bapa Kemerdekaan, Tunku Abdul Rahman dalam Pemasyhuran Malaysia 1963 dan Rukun Negara.

Asas kemajmukan yang diletakkan beliau itulah yang ingin diteruskan oleh Anwar. Maka beliau menterjemahkan idea itu menerusi pembentukan Parti Keadilan Rakyat yang mengikrarkan idealisme berbilang kaum, serta kerjasama susulan antara parti itu dengan PAS dan DAP.

Beliau juga menaungi inisiatif dialog antara agama seperti dialog Islam dan Konfusianisme pada 1995 dan 2019 berlandaskan prinsip li ta‘arafu, di samping aktif mempromosikan jambatan budaya antara dunia Islam dengan Barat.

Kemajmukan yang dipeloporinya ini disandarkan pada identiti negara, yang terdiri daripada empat perkara: Islam sebagai agama rasmi Persekutuan, kedudukan Raja-Raja Melayu, kedudukan istimewa orang Melayu dan Bahasa Melayu sebagai bangsa kebangsaan.

Tiang seri negara inilah yang menjadi dasar kerjasama politik antara Anwar dengan mana-mana pihak sekalipun.

Liberal dalam agama

Namun jika liberal yang dimaksudkan oleh Dr Mahathir adalah liberal dalam agama, kenyataan ini perlu dikaji semula, kerana yang pernah mengeluarkan kenyataan kurang molek di hadapan khalayak terhadap hukuman jenayah hudud serta sunnah menyimpan janggut Nabi SAW bukanlah orang lain, tetapi beliau sendiri.

Anak perempuannya Marina, menganggotai Sisters in Islam, sebuah badan liberal yang difatwa sesat oleh Jawatankuasa Fatwa Selangor pada 2014. Tahun lalu SIS memohon mencabar keputusan fatwa tersebut, namun ditolak mahkamah.

Dr Mahathir juga pernah berpandangan bahawa kini terlalu banyak elemen Islam dalam pembelajaran sekolah. Ini semua merupakan antara perkara yang wajar dipertimbang sebelum seseorang mempercayai tohmahan liberal yang datang daripada Dr Mahathir.

Benar, Dr Mahathir dan Anwar kedua-duanya bukanlah Nabi. Namun ketimbang Dr Mahathir, sebagai merit melawan liberalisme, sumbangan Anwar terhadap kemajuan Islam adalah lebih ketara dan mengesankan.

Meninjau kesan dan sumbangan Anwar

Pada tahun 1974, Anwar selaku Presiden telah menjadikan ABIM sebagai suatu gerakan Islam yang berpengaruh di peringkat nasional dan antarabangsa kerana pendirian tegasnya terhadap berbagai persoalan ekonomi, politik, kebudayaan dan lainnya.

Mana-mana ulama serta cendekiawan ternama yang menziarahi Malaysia pasti akan melepasi pintu ABIM dahulu. Sikap Anwar yang gemar mendampingi para alim ulama dan cendekiawan tidak pernah berubah dari dulu.

Pada tahun 1980, beliau menjadi pengasas bersama International Institute of Islamic Thought (IIIT) di samping al-Marhum Ismail al-Faruqi. Beliau sering melazimi al-Marhum Shaykh Taha Jabir al-Alwani, tidak lekang dari tempat duduknya, tekun mencatat nota.

Saat beliau menjawat Menteri Pendidikan, Anwar berperanan penting dalam penubuhan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Beliau kemudiannya bertungkus-lumus bersama Profesor Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam menubuhkan International Institute of Islamic Thought and Civilization (ISTAC).

Rasa hormat dan sayang Anwar terhadap ulama dan cendekiawan bukanlah suatu rahsia. Buat mereka yang bertandang ke Malaysia, seperti Shaykh Mustafa al-Bugha dan Shaykh Ahmad al-Raysuni baru-baru ini, pertemuan bersama Anwar menjadi suatu kewajipan, dan Anwar akan meminta jaringannya untuk memastikan kebajikan mereka terjaga.

Enggan ke gelanggang

Oleh yang demikian, walau bagaimana sekalipun dakwaan Dr Mahathir cuba difahami, ternyata ia rapuh dan amat mudah dipertikaikan. Ketahuilah, bahawa hakikatnya Anwar sendiri tidak diterima dan disenangi oleh kelompok liberal.

Meskipun beliau mengangkat idea demokrasi liberal dalam politik, namun beliau tidak pernah bersetuju dengan mazhab ekonomi neoliberalisme yang mengurniakan kebebasan dan autoriti seluasnya buat saudagar dan jutawan untuk berniaga sehingga memangsakan jutaan rakyat di bawah.

Demikianlah Anwar yang sering mengenang pesanan Saidina Ali kepada Malik al-Ashtar dan berhasrat memanjangkannya kepada Dr Mahathir semasa beliau menjadi Perdana Menteri, yang menyapu air ke sepatunya saat bermusafir, dan yang menggenggam erat falsafah wa al-‘asr – demi masa!

Anwar mungkin tidak akan membalas serangan Dr Mahathir ini kerana keengganannya untuk digusur ke gelanggang permusuhan, di samping tumpuannya tatkala ini adalah untuk memulihkan partinya Pakatan Harapan.

Biarlah rakyat menilai kenyataan Dr Mahathir yang menyalahkan hampir semua orang kecuali dirinya, cerminan tulen kepada sikap ananiyah (egoisme) yang telah sekian lama memamah dirinya. – 13 Mac, 2020.

 

* Hilman Fikri Azman merupakan setiausaha eksekutif kepada Pengerusi International Institute of Islamic Thought (IIIT).

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen