Gaji kakitangan Malindo Air dipotong hingga 50% 


Pekerja Malindo Air juga diminta untuk mengurangkan hari bekerja mereka sehingga 15 hari sebulan.– Gambar EPA, 7 Mac, 2020.

SYARIKAT penerbangan Malindo Air mengarahkan kakitangannya mengambil potongan gaji 50% dan cuti tanpa gaji dua minggu berikutan penurunan jumlah perjalanan kerana wabak Covid-19, lapor Reuters.

Memo syarikat berkenaan yang dilihat Reuters semalam menyebut ia dilaksanakan sebagai langkah untuk mengatasi masalah kekurangan pendapatan.

Ketua pegawai eksekutifnya Mushafiz Mustafa Bakri menulis, langkah itu termasuk menggantung penerbangan, membuat rayuan bayaran kepada pembekal, dan meminta kakitangannya mengambil cuti tanpa gaji secara sukarela.

“Dengan berat hati, dan tanpa banyak pilihan yang ada, kami tiada pilihan selain meminta setiap daripada kamu mengambil potongan gaji sehingga 50% bagi tempoh beberapa bulan akan datang sehingga keadaan kembali pulih,” kata Mushafiz dalam memo itu.

Pekerja juga diminta untuk mengurangkan hari bekerja mereka sehingga 15 hari sebulan, lapor Reuters.

Malindo Air bagaimanapun enggan memberi sebarang ulasan.

Malindo Air merupakan syarikat penerbangan pertama di Malaysia yang memotong gaji kakitangannya.

Sementara, syarikat penerbangan nasional Malaysia Airlines dan syarikat penerbangan tambang murah AirAsia Group Berhad, termasuk AirAsia X, turut terjejas sejak wabak itu mula merebak tahun lalu.

Menurut AirAsia X, jualan tiket penerbangan ke Jepun, Korea Selatan dan Australia menurut namun pasaran China adalah yang paling teruk terjejas. – 7 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen