Wanita maut kereta dihempap lori 


SEORANG pemandu sebuah kereta maut selepas kenderaan wanita itu dihempap sebuah lori membawa muatan kayu balak yang terbabas dalam kemalangan di Jalan Bukit Teh-Machang Bubok, di Bukit Mertajam hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3.55 petang itu, Ong Yean Leng, 37, yang berasal dari Machang Bubok, di Bukit Mertajam meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah, selepas tersepit di dalam keretanya yang terperosok ke dalam longkang di kanan jalan selepas dihempap lori itu.

Pegawai Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang Mohd Syukri Abdul Rahman berkata dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Mertajam dan Sungai Bakap bergegas ke lokasi kemalangan sebaik menerima panggilan pada pukul 3.58 petang.

Katanya sebaik tiba, pihaknya mendapati sebuah lori membawa muatan kayu balak terbalik dan menghempap sebuah kereta serta terdapat wanita yang tersepit akibat dihempap oleh lori itu.

“Pihak bomba dengan bantuan kren mengambil masa hampir empat jam untuk mengeluarkan mayat itu sebelum dihantar ke Hospital Bukit Mertajam untuk bedah siasat,” katanya. – Bernama, 3 Mac, 2020


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen