Covid-19: Malaysia sekat kemasukan pelawat Korea Selatan


Sekatan dibuat ke atas pelawat dari Korea Selatan termasuk warganegara asing yang pernah berada di bandar Daegu dan daerah Cheongdo dalam tempoh 14 hari sebelum ketibaan di negara ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Februari, 2020.

MALAYSIA menyekat sementara kemasukan semua pelawat dari Korea Selatan termasuk warganegara asing yang pernah berada di bandar Daegu dan daerah Cheongdo dalam tempoh 14 hari sebelum ketibaan di negara ini.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), dalam kenyataan hari ini, memaklumkan sekatan itu turut meliputi pelawat yang melakukan transit melalui Malaysia.

Menurut kenyataan itu, warganegara Malaysia, penduduk tetap dan pemegang pas (pas lawatan sosial jangka panjang dan pas pelajar) yang pernah berada di kedua-dua kawasan itu dalam tempoh 14 hari sebelum ketibaan ke Malaysia juga perlu menjalani saringan kesihatan oleh KKM.

“Bagi meningkatkan kawalan di pintu masuk antarabangsa negara, Jabatan Imigresen akan turut menyediakan kaunter khas untuk pelawat dari Korea Selatan, Jepun, Itali dan Iran,” katanya.

Sekatan berkuat kuasa serta merta itu diputuskan dalam mesyuarat Jawatankuasa Kerja Kluster Covid-19  Bersama Pelbagai Agensi yang diselaraskan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).

Ia turut melibatkan KKM,  Kementerian Dalam Negeri, Jabatan Imigresen, Kementerian Luar Negeri dan agensi lain yang berkaitan. – Bernama, 28 Februari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen