Ahli Parlimen Bersatu calonkan Muhyiddin jadi PM


Bersatu memutuskan untuk mencalonkan Muhyiddin Yassin, presiden Bersatu dan Ahli Parlimen Pagoh, sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-8. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Februari, 2020.

AHLI Parlimen Bersatu menamakan presidennya Muhyiddin Yassin sebagai calon perdana menteri, kata Setiausaha Agung parti Marzuki Yahya.

Keputusan dibuat dalam mesyuarat ahli Parlimen Bersatu pagi tadi, yang dipercayai dipengerusikan oleh pengerusi parti Dr Mahathir Mohamad.

“Mesyuarat Ahli-Ahli Dewan Rakyat hari ini telah memutuskan untuk mencalonkan Muhyiddin Yassin, presiden Bersatu dan Ahli Parlimen Pagoh, sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-8 untuk perkenan Duli Yang Maha Mulia Seri Padua Baginda Yang di-Pertuan Agong,” katanya dalam satu kenyataan.

Marzuki juga menyebut mesyuarat dihadiri 36 Ahli Dewan Rakyat Bersatu.

Bersatu dijangka mengadakan satu sidang media malam ini.

The Malaysian Insight difahamkan mesyuarat disertai 10 daripada 11 Ahli Parlimen bekas PKR yang kini jadi wakil rakyat bebas, termasuk bekas timbalan presiden parti itu Mohamed Azmin Ali.

Seorang yang tidak hadir ialah Ahli Parlimen Ranau Jonathan Yasin, yang kelmarin mencetuskan gempar kerana “membuat kenyataan” beliau masih kekal dalam PKR. Kenyataan di Facebook itu bagaimanapun sudah dipadamkan hanya beberapa minit kemudian.

Setakat ini bagaimanapun belum ada kenyataan rasmi 10 ahli Parlimen bekas PKR itu sudah menyertai Bersatu.

Kenyataan Marzuki dikeluarkan ketika ada laporan menyebut mesyuarat hampir dua jam pagi tadi berlangsung dalam suasana tegang dan Dr Mahathir keluar separuh jalan.

Dalam ucapan pertamanya kelmarin, sejak kemelut ini bermula Ahad lalu, Dr Mahathir berkata beliau letak jawatan kerana tidak dapat menerima hasrat Bersatu mahu bekerjasama dengan Umno.

“Saya sanggup terima ahli Umno yang keluar Umno dan menyertai parti lain. Tetapi Umno akan sertai kerajaan campuran ini sebagai parti Umno. 

“Ini tidak dapat diterima oleh saya. Maka terpaksalah saya letak jawatan,” kata Dr Mahathir, dalam perutusan yang disiarkan secara langsung di televisyen dan radio, kelmarin. – 28 Februari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen