Agong titah ketua parti politik menghadap untuk tentukan PM


KETUA pemimpin parti politik akan dijemput ke Istana Negara untuk menamakan calon perdana menteri mereka, kata kenyataan daripada istana, hari ini.

Kenyataan turut menyebut yang Yang Di Pertuan Agong berdasarkan hasil temubual dengan semua ahli Parlimen pada Selasa dan Rabu lalu “masih belum memperolehi keyakinan” dengan mana-mana calon yang meraih sokongan majoriti di Parlimen.

Kenyataan bagaimanapun tidak menyebut tarikh dan masa pemimpin berkenaan akan dipanggil menghadap Agong.

Kenyataan istana itu dikeluarkan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Ahmad Fadil Shamsuddin.

Ahmad Fadil turut berkata yang Agong sudah memperkenan keputusan Speaker Dewan Rakyat Mohamad Aridd Md Yusof untuk tidak mengadakan sidang khas pada Isnin walaupun mendapat permohonan Perdana Menteri Interim Dr Mahathir Mohamad.

“Seri Paduka Baginda seterusnya akan terus berusaha untuk mencari jalan penyelesaian selaras dengan Perlembagaan Persekutan demi kesejahteraan rakyat jelata dan negara yang kita cinta bersama,” kata kenyataan lagi.

Awal hari ini, Ariff berkata permohonan untuk mengadakan sidang khas ditolak kerana notis panggilan mesyuarat tidak mengikut peraturan ditetapkan Aturan Mesyuarat 11 (3).

Ariff juga berkata pada pandangan beliau keperluan mengadakan sidang khas itu akan dibuat “selepas mendapat pemakluman titah rasmi’ daripada Yang Di Pertuan Agong berhubung proses pemilihan perdana menteri.” 

“Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Selasa dan Rabu telah berkenan menerima menghadap dan mendengar sendiri pendirian semua ahli Dewan Rakyat sama ada melantik seorang perdana menteri atau diadakan satu pilihan raya baharu.

“Oleh yang demikian, saya memutuskan tiada mesyuarat khas Dewan Rakyat pada Isnin, 2 Mac 2020,” kata Ariff.

Sidang khas Dewan Rakyat dimohon diadakan Dr Mahathir selepas kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan apabila kehilangan lebih 35 ahli Parlimen pada Ahad lalu.

Setakat ini, tiada parti politik atau individu yang meraih sokongan majoriti daripada 222 kerusi Dewan Rakyat untuk membentuk kerajaan atau dilantik sebagai perdana menteri.

Dr Mahathir berkata sidang khas itu akan menentukan calon yang mendapat sokongan majoriti menjadi perdana menteri, dan kegagalan berbuat demikian akan menyebabkan pilihan raya umum baharu diadakan.

Speaker turut menghadap Agong sebanyak dua kali dalam tempoh beberapa jam hari ini.

Agong turut bermesyuarat dengan Majlis Raja-Raja untuk membincangkan kemelut politik ini, pagi tadi. Baginda turut menitahkan ketua polis dan tentera datang menghadap.

Walaupun Pakatan Harapan menamakan Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri, Bersatu memilih Presiden Muhyiddin Yasin.

Sehingga semalam, Bersatu, kumpulan pemimpin yang dipecat PKR diterajui Azmin Ali, Gabungan Parti Sarawak (GPS), dan Warisan (Sabah) berkata mereka memberikan sokongan kepada Dr Mahathir untuk kekal menjadi perdana menteri.

Manakala, Barisan Nasional dan PAS memilih pilihan raya umum baharu diadakan. – 28 Februari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen