Kuasa lantik PM pada Agong, kata pemimpin Bersatu


Pertemuan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dengan ahli Parlimen selama dua hari pada Selasa dan Rabu tidak menemukan calon yang memperoleh majoriti jelas, kata Rais Yatim. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Februari, 2020.

KUASA melantik perdana menteri ada pada Yang di-Pertuan Agong, dan bukannya Dewan Rakyat, kata Ahli Majlis Tertinggi Bersatu Rais Yatim.

Katanya, Dewan Rakyat hanya boleh menentukan menyokong atau tidak seseorang perdana menteri tetapi bukan melantik perdana menteri.

“Kenapa masih ribut-ribut konon Dewan Rakyat akan tentukan siapa jadi Perdana Menteri 2 Mac ini?

“Kuasa melantik Perdana Menteri di tangan Yang di-Pertuan Agong bukan di Dewan Rakyat. Patut Agong sudah buat keputusan hasil dua hari temuduga dengan Ahli Parlimen.

“Peguam Negara, tolonglah beri nasihat yang betul kepada Yang di-Pertuan Agong. Di Dewan Rakyat cuma boleh undi percaya atau tidak percaya,” tulisnya di Twitter.

Semalam, Dr Mahathir berkata Dewan Rakyat akan mengadakan sidang khas pada Isnin bagi mengundi untuk menentukan ahli Parlimen yang mempunyai sokongan majoriti sebagai ketua kerajaan.

Katanya, pertemuan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dengan ahli Parlimen selama dua hari pada Selasa dan Rabu tidak menemukan calon yang memperoleh majoriti jelas.

“Oleh sebab tiada majoriti yang jelas, Baginda bertitah forum yang wajar ialah Dewan Rakyat.

“Jadi Parlimen akan bersidang pada 2 haribulan depan… siapa yang ada sokongan majoriti di Parlimen akan jadi perdana menteri.

“Bagaimanapun kalau Dewan Rakyat gagal mendapatkan orang yang ada majoriti, kita perlu adakan pilihan raya,” katanya semalam.

Bagaimanapun, hari ini Speaker Dewan Rakyat Mohamad Ariff Md Yusof berkata Dewan Rakyat tidak akan mengadakan sidang khas pada Isnin ini.

Dalam satu kenyataan, beliau memberi dua alasan kenapa sidang khas itu tidak perlu.

Katanya, notis panggilan mesyuarat tidak mengikut peraturan, sementara Yang di-Pertuan Agong belum lagi mengumumkan hasil proses penentuan sokongan majoriti ahli Parlimen. – 28 Februari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen