Tiada sidang khas Dewan Rakyat Isnin ini, kata Speaker


Speaker Dewan Rakyat Mohamad Ariff Md Yusof tiada sidang khas akan diadakan pada Isnin seperti diumum Perdana Menteri Interim Dr Mahathir Mohamad semalam. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Februari, 2020.

DEWAN Rakyat tidak akan mengadakan sidang khas pada Isnin ini, seperti yang diumum oleh Perdana Menteri Interim Dr Mahathir Mohamad semalam, bagi menyelesaikan kemelut pembentukan kerajaan susulan runtuhnya pentadbiran Pakatan Harapan.

Speaker Dewan Rakyat Mohamad Ariff Md Yusof dalam satu kenyataan memberi dua alasan kenapa sidang khas itu tidak perlu.

Katanya, notis panggilan mesyuarat tidak mengikut peraturan, sementara Yang di-Pertuan Agong belum lagi mengumumkan hasil proses penentuan sokongan majoriti ahli Parlimen. 

Menurut Mohamad Ariff, pejabatnya sudah menerima surat pemakluman memanggil mesyuarat khas Dewan Rakyat daripada Dr Mahathir namun surat itu tidak disusuli dengan pemberitahuan usul yang lengkap.

“Mengikut peraturan Mesyuarat 11(3), pemberitahuan dan tarikh mesyuarat akan dikeluarkan oleh saya selaku Yang di-Pertua Dewan Rakyat. 

“Setakat ini tiada notis dikeluarkan,” katanya.

Mohamad Ariff juga berkata pada pandangan beliau keperluan mengadakan mesyuarat khas itu akan dibuat “selepas mendapat pemakluman titah rasmi’ daripada  Yang di-Pertuan Agong berhubung proses pemilihan perdana menteri.

Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Selasa dan Rabu telah berkenan menerima menghadap dan mendengar sendiri pendirian semua ahli Dewan Rakyat sama ada melantik seorang perdana menteri atau diadakan satu pilihan raya baharu.

“Oleh yang demikian, saya memutuskan tiada mesyuarat khas Dewan Rakyat pada Isnin, 2 Mac 2020,” kata Mohamad Ariff.

Jelas Speaker, beliau akan terus meneliti perkembangan semasa.

“Kenyataan seterusnya tentang notis dan tarikh mesyuarat khas akan dimaklumkan kelak,” tambahnya.

Semalam, Dr Mahathir berkata Dewan Rakyat akan mengadakan sidang khas pada Isnin bagi mengundi untuk menentukan ahli Parlimen yang mempunyai sokongan majoriti sebagai ketua kerajaan.

Sekiranya tiada keputusan, pilihan raya yang baharu akan diadakan, katanya.

Menurut Dr Mahathir, hasil temuduga Yang di-Pertuan Agong tidak dapat memastikan siapa yang ada majoriti.

“Oleh sebab tiada majoriti yang jelas, Baginda bertitah forum yang wajar ialah Dewan Rakyat.

“Jadi Parlimen akan bersidang pada 2 haribulan depan… siapa yang ada sokongan majoriti di Parlimen akan jadi perdana menteri.

“Bagaimanapun kalau Dewan Rakyat gagal mendapatkan orang yang ada majoriti, kita perlu adakan pilihan raya,” katanya semalam. – 28 Februari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen