Annuar Musa gesa ahli Parlimen tolak sidang khas Isnin


Setiausaha Agung Umno Annuar Musa berkata sidang khas Parlimen pada Isnin ini tidak mengikut Perlembagaan, selain tidak menghormati kuasa YDPA untuk melantik perdana menteri. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 27 Februari, 2020.

SETIAUSAHA Agung Umno Annuar Musa menggesa anggota Dewan Rakyat menolak sidang khas Parlimen pada Isnin ini, seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri sementara Dr Mahathir Mohamad semalam.

Menulis di Twitter, Ahli Parlimen Ketereh itu berkata sidang khas tersebut tidak mengikut Perlembagaan, selain tidak menghormati kuasa Yang di-Pertuan Agong (YDPA) untuk melantik perdana menteri.

“Semua MP mesti katakan tidak kepada sidang khas 2 Mac seperti yang diumumkan oleh IPM (perdana menteri interim)... ia tidak berperlembagaan, janggal dari segi prosedur dan tidak menghormati YDPA,” tulisnya.

Dalam satu tweet berasingan, Annuar menjelaskan beliau bukan menggesa ahli Parlimen memboikot sidang pada Isnin.

Katanya, setakat ini belum ada notis panggilan mesyuarat dikeluarkan mengikut peraturan tetap.

Semalam, Dr Mahathir berkata sidang khas Dewan Rakyat pada Isnin akan mengundi untuk menentukan ahli Parlimen yang mempunyai sokongan majoriti sebagai ketua kerajaan.

Sekiranya tiada keputusan, pilihan raya yang baharu akan diadakan, katanya.

Dr Mahathir mengumumkan demikian selepas berkata temuduga oleh Seri Paduka pada Selasa dan Rabu gagal menemukan calon perdana menteri yang mendapat majoriti yang wajar.

Semalam, dalam reaksi kepada pengumuman Dr Mahathir, Speaker Dewan Rakyat Mohamad Ariff Md Yusof berkata semua proses berkaitan urusan pada sidang khas Isnin ini akan ditentukan selepas ada notis supaya diadakan sidang khas itu. – 27 Februari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen