Banyak cubaan untuk raih sokongan saya, kata Wan Junaidi


Ahli Parlimen Santubong Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata terlalu banyak cubaan untuk meraih sokongannya di tengah-tengah kemelut politik semasa yang sedang berlaku. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Februari, 2020.

WAN Junaidi Tuanku Jaafar berkata terlalu banyak cubaan untuk meraih sokongannya di tengah-tengah kemelut politik semasa yang sedang berlaku.

Ahli Parlimen Santubong berkata, telefon bimbitnya berbunyi tanpa henti sejak Ahad dengan panggilan datang daripada pelbagai orang yang berharap untuk mendapatkan sokongannya.

“Banyak orang telefon saya. Mereka telefon ketika saya berada di sini,” kata pemimpin Gabungan Parti Sarawak (GPS) kepada pemberita di Kampung Telok Serabang di Sematan yang terletak 128 kilometer dari Kuching, Sarawak.

“Mereka menelefon saya sejak saya berada di Kuala Lumpur,” katanya merujuk kepada perjalanan beliau dan ahli Parlimen GPS lain bersama Ketua Menteri Abang Johari Openg untuk menghadiri mesyuarat di sebuah hotel di Petaling Jaya.

Wan Junaidi berkata beliau bercakap dengan mereka yang menelefonnya tetapi menambah bahawa beliau tetap tidak memihak kepada sesiapa. 

Beliau bersama 17 ahli Parlimen lain dari gabungan parti itu telah menyatakan sokongan mereka terhadap Perdana Menteri Interim Dr Mahathir Mohamad untuk menerajui kerajaan.

Wan Junaidi bagaimanapun tidak menyebut nama mereka yang cuba mendapatkan sokongannya. – 28 Februari, 2020.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen