132 rakyat Afrika Selatan di Wuhan akan dibawa pulang


Presiden Cyril Ramaphosa mengarahkan rakyat Afrika Selatan di bandar Wuhan di Hubei, China dibawa pulang. – Gambar EPA, 28 Februari, 2020.

AFRIKA Selatan akan membawa pulang lebih daripada 100 rakyatnya yang masih berada di Wuhan, China, umum Pejabat Presiden semalam.

“Presiden Cyril Ramaphosa mengarahkan rakyat Afrika Selatan di bandar Wuhan di Hubei, China dibawa pulang,” menurut kenyataan pejabat itu.

“Kabinet memutuskan untuk membawa pulang 123 rakyat selepas menimbangkan keadaan dan bagi memenuhi permintaan mereka yang berada di sana.”

Virus Covid-19 setakat ini sudah meragut lebiah daripada 2,800 orang, kebanyakannya di China. Sejak tercetus pada Disember lalu, seramai 82,000 orang di 50 negara dijangkiti virus berkenaan.

Kerajaan Afrika Selatan menganggarkan seramai 198 rakyat negara itu berada di Wuhan, tetapi 132 orang daripada mereka berhasrat mahu pulang.

Tiada rakyat Afrika Selatan yang dijangkiti Covid-19 atau menunjukkan sebarang gejala, tambah kenyataan itu.

“Bagaimanapun, mereka yang dibawa pulang akan dikuarantin selama 21 hari sebagai langkah berjaga-jaga.”

Benua Afrika setakat ini melaporkan dua kes, masing-masing satu di Mesir dan Algeria. – AFP, 28 Februari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen