Malaysia ada duit untuk pakej rangsang ekonomi, kata Dr Mahathir


RM2 trilion dalam bentuk simpanan Bank Negara Malaysia, Tabung Haji, Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dengan sebahagiannya boleh digunakan, kata Dr Mahathir Mohamad. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Februari, 2020.

MALAYSIA mempunyai hampir RM2 trilion dalam bentuk simpanan Bank Negara Malaysia, Tabung Haji, Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dengan sebahagiannya boleh digunakan untuk menampung Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 yang diumumkan hari ini.

Sehubungan itu, Perdana Menteri Interim Dr Mahathir Mohamad menegaskan bahawa negara mempunyai wang mencukupi pada masa ini dan akan hanya menerbitkan bon sekiranya wujud keperluan untuk berbuat demikian.

“Dalam KWSP misalnya, kita ada hampir RM1 trilion yang merupakan satu angka besar selain simpanan lain yang boleh digunakan untuk pakej rangsangan ekonomi itu,” kata beliau pada sidang media selepas mengumumkan pakej bernilai RM20 bilion itu di Putrajaya, hari ini.

Pakej bertemakan “Memperkukuh Keyakinan, Merangsang Pertumbuhan, Melindungi Pekerjaan” itu diperkenalkan kerajaan dalam usaha menangani ekonomi daripada kesan membabitkan penularan Covid-19.

Mengulas aspek atau kaedah pengagihan pakej ekonomi itu berikutan ketiadaan Kabinet susulan perkembangan politik tanah air ketika ini, Dr Mahathir berkata usaha itu akan dilaksanakan mengikut prosedur birokratik.

Ditanya sama ada kerajaan masih komited terhadap usaha pengukuhan pasca pakej rangsangan ekonomi itu, beliau berkata : “Ya, kita masih komited.”

Terdahulu, Dr Mahathir berkata pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2020 diunjurkan dalam julat 3.2% hingga 4.2% berikutan senario ekonomi global serta impak penularan Covid-19.

“Saya yakin pakej rangsangan tersebut akan membolehkan ekonomi Malaysia mencapai tahap tertinggi dalam julat itu.

“Dalam merangka pakej tersebut, kerajaan turut mengambil kira kedudukan fiskal negara. Susulan pelaksanaan pakej itu, defisit fiskal dianggarkan meningkat sedikit kepada 3.4% daripada KDNK berbanding sasaran awal 3.2%,” katanya.

Pada 2003, kerajaan bertindak memperkenalkan pakej rangsangan RM8.1 bilion bagi melonjakkan ekonomi yang terjejas akibat penularan Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS).– Bernama, 27 Februari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen