Covid-19: Penularan komuniti dikesan di California


Petugas Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat mengesahkan kes baharu Covid-19 di utara California adalah petanda penularan komuniti kini melanda negara itu.– Gambar EPA, 27 Februari, 2020.

PUSAT Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat (AS) pada Rabu mengesahkan kes baharu Covid-19 di utara California adalah petanda penularan komuniti kini melanda AS, lapor agensi berita Xinhua.

“Bagaimana pesakit itu terdedah kepada jangkitan tidak diketahui, mungkin ini boleh menjadi contoh penularan komuniti, kali pertama berlaku di AS,” kata CDC dalam satu kenyataan.

Penularan komuniti bermaksud punca bagaimana jangkitan berlaku tidak diketahui.

Jabatan Kesihatan Awam California mengenal pasti pesakit itu sebagai penduduk daerah Solano, kira-kira 94 kilometer dari timur laut San Francisco, kini dirawat di daerah Sacramento.

“Individu itu dikatakan tidak melakukan perjalanan atau berhubung rapat dengan orang yang dijangkiti,” kata jabatan itu.

Kes itu adalah yang ke-15 disahkan positif Covid-19 di Amerika Syarikat.

Menurut jabatan itu, dua kes sebelum ini membabitkan jangkitan antara manusia kepada manusia termasuk di Chicago, Illinois dan di daerah San Benito, California, kedua-dua dijangkiti selepas “berhubung rapat dengan ahli keluarga yang pulang dari Wuhan, China.”

Data CDC AS menunjukkan terdapat 60 kes disahkan, termasuk 45 kes membabitkan individu yang dibawa pulang dari Wuhan atau penumpang kapal persiaran Diamond Princess.

CDC memberi amaran kepada rakyat Amerika untuk bersedia berdepan kemungkinan virus akan menular dengan lebih meluas.

San Francisco pada Selasa mengisytiharkan darurat di bandar itu untuk memastikan langkah persediaan menghadapi wabak dapat diperkukuh, memandangkan semakin banyak kes jangkitan dilaporkan di seluruh dunia. – Bernama, 27 Februari, 2020.


 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen