2 wanita Thailand edar dadah terlepas hukuman mati di Indonesia


DUA orang wanita warga Thailand yang disabitkan kesalahan menyeludup methamphetamine di Bali terlepas hukuman mati selepas mahkamah Indonesia menjatuhkan hukuman penjara 16 tahun ke atas mereka.

Mahkamah Denpasar, Bali berkata Kasarin Khamkhao dan Sanicha Maneetes, seorang pekerja pencucian dan pengendali sebuah kedai sewa motorsikal di Thailand menunjukkan kekesalahan atas jenayah dilakukan dan berhak mendapat hukuman budi bicara.

Penghakiman dikeluarkan semalam selepas empat bulan pasangan itu ditahan pegawai lapangan terbang yang menemui hampir empat kilogram methamphetamine disembunyikan dalam pakaian mereka ketika baharu tiba dari Bangkok.

Indonesia mempunyai undang-undang dadah paling ketat di dunia, termasuk hukuman mati untuk penyeludup.

Ketika ditahan Oktober lalu, polis berkata wanita Thailand itu boleh dikenakan hukuman mati oleh skuad penembak sekiranya sabit bersalah.

Pendakwaan yang memohon hukuman penjara 19 tahun semalam berkata mereka mungkin akan membuat rayuan.

Kedua-dua mereka juga didenda RM300,000 setiap seorang atau dipenjara tiga bulan lagi jika gagal membayarnya, kata mahkamah.

Indonesia mengurangkan pelaksanaan hukuman mati sejak beberapa tahun lepas walaupun ia mendapat sokongan rakyat negara itu.

Seorang penyeludup dadah warga Perancis sebelum ini berjaya merayu hukuman penjara 19 tahun berbanding hukuman mati yang dijatuhkan pada awalnya.

Walaupun hukuman mati sering kali diubah kepada hukuman penjara, Indonesia pernah menghukum warga asing termasuklah dua dalang warga Australia kumpulan penyeludup heroin Bali Nine yang ditembak mati pada 2015. – AFP, 27 Februari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen