Bangladesh tangguh pindah Rohingya ke pulau


Sebahagian daripada pelarian Rohingya yang ditempatkan di kem pelarian di Bangladesh.– Gambar EPA, 27 Februari, 2020.

BANGLADESH sekali lagi menangguhkan pelan memindahkan hampir 100,000 pelarian Rohingya ke sebuah pulau terpencil di Teluk Bengal, kata seorang menteri semalam.

Pihak berkuasa sejak sekian lama mahu memindahkan sebahagian daripada lebih sejuta pelarian Rohingya ke Bhashan Char, walaupun terdapat amaran yang kawasan itu terdedah kepada bencana alam dan ribut ganas.

Tindakan itu dibuat untuk mengurangkan kesesakan di kem pelarian yang sesak menempatkan pelarian yang melarikan diri dari Myanmar pada 2017 selepas ditindas tentera negara itu.

Tetapi, kumpulan hak asasi manusia berkata pelarian dipaksa menerima pemindahan itu dan rancangan itu sebenarnya tidak dipersetujui sebahagian besar Rohingya.

Menteri Muda Pengurusan Bencana Enamur Rahman berkata Bangladesh akan meningkatkan tumpuan kepada rundingan diplomasi bagi menghantar balik pelarian ke Myanmar.

“Rancangan pemindahan sudah ditangguhkan,” katanya kepada AFP, menambah yang “wujud progres” dalam perbincangan dengan Myanmar apabila China menjadi perantara.

Bangladesh dan Myanmar sudah menandatangani perjanjian penghantaran semula sebahagian Rohingya ke Myanmar- tetapi wujud kebimbangan keselamatan dan tidak ramai pelarian mahu pulang.

Ribuan Rohingya dipercayai dibunuh di Myanmar pada 2017, dan laporan pelarian mendakwa pembunuhan dan rogol massa dilakukan tentera dan suku kaum Rakhine.

Pihak tentera menafikan dakwaan itu dan menegaskan operasi dilakukan untuk menghapuskan pemberontakan Rohingya.

Tentera laut Bangladesh menghabiskan bertahun-tahun membina rumah, kemudahan dan tembok banjir di Bhashan Char yang menelan belanja AS$280 juta. – AFP, 27 Februari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen